Saya cuba buat CPR, tetapi anak sudah tiada respon - Bapa

Saya cuba buat CPR, tetapi anak sudah tiada respon – Bapa

Mior Sharizal, 48 (tengah) dan isterinya, Derma Taksiah @ Norlela, 51 menabur bunga pada pusara anaknya, Derma Damiya Nur Mikayla, 7 di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Luluh hati seorang bapa selepas melihat anak perempuan tunggalnya, Derma Damiya’ Nur Mikayla Mior Shahrizal terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di koridor tingkat dua di sebuah sekolah, di sini semalam.

Menurut bapa mangsa, Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, dia mengetahui perkara daripada itu isterinya, Derma Taksiah @Norlela, 51, sekitar pukul 5 petang yang memintanya untuk bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu dipercayai tercekik.

“Jadi bila saya sampai di sekolah, saya naik tingkat dua, tengok anak saya sudah terbaring dekat koridor. Tapi ada (guru) di sekililing itu lah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berada di tempat kejadian sekitar 15 minit, kemudian baru ambulans tiba. (Ketika itu) anak memang dah ‘flat’ habis, saya dah tolong ‘pump’ apa semua dah tiada respon, saya bagi CPR (Resusitasi Kardiopulmonari) apa semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, di sini hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, di sini.

Jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Putrajaya sekitar pukul 12 tengah hari setelah selesai proses bedah siasat dan dibawa ke Masjid Jamiatus Solehah, Pekan Dengkil di sini untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan selepas solat fardu Zohor.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil sekitar pukul 3.15 petang dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga dan waris terdekat.

Ditanya berkaitan keputusan proses bedah siasat ke atas Derma Damiya’ Nur Mikayla, Mior Shahrizal berkata, berdasarkan penerangan doktor kepadanya serta isteri, saluran pernafasan anaknya itu dipercayai tersumbat makanan yang melekat di dalamnya.

“Ada doktor terangkan tadi dengan saya dan isteri, sama ada pisang atau pun ayam. Doktor jelaskan dua benda itu lah, benda itu tak boleh dikeluarkan, ada dalam (saluran pernafasan),” ujarnya.

Mior Shahrizal yang menetap di Taman Desa itu berkata, anaknya yang bersekolah agama pada sebelah pagi dan sekolah kebangsaan pada sebelah petang tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku yang ketara.

“Cuma semalam dia terlampau aktif, ada sahaja perkara dia akan tanya pada saya. Selalunya balik daripada sekolah, balik daripada sekolah Kafa, kalau dia dah rehat, bila saya suruh dia pergi mandi ke apa ke, dia macam liatlah, tapi macam semalam, bila saya cakap, ‘Baby pergi mandi’, dia terus bangun pergi mandi. Tapi semalam saya langsung tak syak apa-apa.

“Kemudian dia cakap ‘ayah, Baby dah mandilah’, selepas itu dia pakai baju sekolah sendiri, tudung sendiri. Saya tunggulah dia,” ujarnya.

Lebih meruntun hati, Mior Shahrizal berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja awal bulan ini bagi memberi tumpuan kepada urusan persekolahan anaknya, termasuk menghantar dan mengambil kanak-kanak itu setiap hari.

Tambahnya, anaknya itu paling rapat dengannya dan sering menjadikan dirinya tempat mengadu.

“Dia paling rapat dengan saya. Apa-apa pun, dia akan mengadu kepada saya,” katanya.

Dalam nada sebak, Mior Shahrizal berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan kesedihan yang ditanggungnya, namun reda dengan pemergian anak bongsu itu.

Selain Derma Damiya’ Nur Mikayla, Mior Shahrizal turut mempunyai dua lagi anak lelaki, Mior Muhammad Daniel, 23, dan Mior Muhammad Danish, 20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini