Nilai masa kerja domestik

Nilai masa kerja domestik

KERJA domestik perlu diiktiraf sebagai satu bentuk kerja yang menggunakan masa dan tenaga, walaupun tidak dibayar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari, rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas memperuntukkan secara purata lima jam 12 minit untuk kerja domestik dan penjagaan tanpa bayaran. Tempoh ini lebih tinggi dalam kalangan wanita, iaitu enam jam tujuh minit sehari, berbanding empat jam 20 minit bagi lelaki.

Dapatan rasmi Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memperlihatkan bahawa sebahagian besar masa harian masyarakat digunakan untuk melaksanakan tanggungjawab domestik dan penjagaan yang menyokong kelangsungan kehidupan isi rumah.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai kerja dilakukan bagi memastikan sesebuah isi rumah terus berfungsi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Makanan disediakan, pakaian dibasuh dan dilipat, rumah dibersihkan, barangan keperluan dibeli, anak dihantar dan diambil dari sekolah, kerja sekolah dipantau, ahli keluarga yang sakit dibantu dan ibu bapa yang semakin berusia dijaga.

Kesemua aktiviti ini mempunyai satu persamaan. Ia menggunakan masa dan tenaga, perlu dilakukan secara berulang dan sekiranya tidak dilaksanakan oleh ahli keluarga, sebahagiannya perlu dibeli daripada pasaran dengan menggunakan wang.

Inilah kerja domestik. Hakikatnya terdapat masa, tenaga dan kos peluang di sebalik setiap tugasan tersebut.

Masa yang terhad
Data DOSM menunjukkan wanita menghabiskan 25.5 peratus daripada masa sehari untuk kerja domestik dan penjagaan tanpa bayaran, bersamaan kira-kira enam jam tujuh minit. Bagi lelaki, bahagiannya ialah 18.1 peratus atau sekitar empat jam 20 minit sehari.

Perbezaan hampir dua jam sehari ini perlu dilihat bukan semata-mata sebagai perbezaan antara lelaki dengan wanita. Ia juga perlu difahami sebagai persoalan tentang kesempatan menggunakan masa.

Masa yang digunakan untuk kerja domestik ialah masa yang tidak dapat digunakan serentak untuk aktiviti lain seperti berehat, meningkatkan kemahiran, mengikuti pendidikan, bersukan, menjalankan aktiviti sosial atau mengambil pekerjaan tambahan.

Dalam ekonomi, inilah yang disebut sebagai kos peluang.

Peluang pekerjaan
Pada 2025, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ialah 56.6 peratus, jauh lebih rendah berbanding 83.3 peratus bagi lelaki. Pada tahun yang sama, wanita membentuk 69.5 peratus daripada penduduk yang berada di luar tenaga buruh.

Lebih penting, DOSM melaporkan bahawa kerja rumah dan tanggungjawab keluarga merupakan sebab terbesar seseorang berada di luar tenaga buruh pada 2025, merangkumi 43.8 peratus daripada keseluruhan kumpulan berkenaan. Angka ini perlu dibaca dengan berhati-hati.

Kita tidak boleh menyimpulkan bahawa kerja domestik merupakan satu-satunya sebab kadar penyertaan tenaga buruh wanita lebih rendah.

Keputusan untuk bekerja atau tidak bekerja dipengaruhi banyak faktor termasuk pendidikan, umur, peluang pekerjaan, tahap upah, kesihatan, lokasi dan pilihan individu.

Namun, data tersebut menunjukkan satu perkara yang sukar dinafikan iaitu tanggungjawab rumah tangga dan keluarga mempunyai hubungan yang nyata dengan keputusan ekonomi seseorang.

Apabila penjagaan anak atau ibu bapa memerlukan masa yang panjang, seseorang mungkin mengurangkan waktu bekerja, memilih pekerjaan yang lebih dekat dengan rumah, menolak kenaikan pangkat yang memerlukan perjalanan atau waktu kerja lebih panjang, malah dalam sesetengah keadaan keluar daripada pasaran buruh. Dengan kata lain, kerja domestik bukan hanya isu yang berlaku di dalam rumah.

Kesannya boleh sampai ke tempat kerja dan pasaran buruh.

Golongan pertengahan umur
Data DOSM menunjukkan kumpulan berumur 45 hingga 54 tahun mencatatkan masa tertinggi untuk kerja domestik dan penjagaan tanpa bayaran iaitu purata lima jam 43 minit sehari, diikuti kumpulan 25 hingga 44 tahun sebanyak 5 jam 35 minit.

Walaupun data ini tidak membolehkan semua individu pertengahan umur dilabel sebagai generasi sandwic, coraknya menunjukkan bahawa fasa ini berpotensi melibatkan tanggungjawab serentak terhadap anak, ibu bapa yang semakin berusia dan pekerjaan.

Justeru, beban keluarga bukan sahaja melibatkan tuntutan kewangan, tetapi juga tuntutan masa.

Isu ini semakin penting apabila Malaysia menuju ke arah masyarakat menua. Pada 2026, 8.4 peratus penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025.

Walaupun ramai warga emas kekal aktif dan berdikari, peningkatan penduduk berusia berpotensi menambah keperluan penjagaan, termasuk penyediaan makanan, pengurusan ubat, lawatan kesihatan dan bantuan harian.

Jika sistem penjagaan formal tidak berkembang seiring perubahan demografi, sebahagian besar keperluan ini akan terus ditanggung oleh keluarga dalam bentuk tambahan kerja domestik dan penjagaan tanpa bayaran.

Bukan isu wanita semata-mata
Sasaran 5.4 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya kerja penjagaan dan kerja domestik tanpa bayaran diiktiraf dan dihargai melalui penyediaan perkhidmatan awam, infrastruktur, perlindungan sosial serta perkongsian tanggungjawab dalam rumah tangga dan keluarga.

Sehubungan itu, tanggungjawab menangani beban kerja domestik tidak boleh diletakkan kepada individu sahaja.

Perkongsian tugas yang lebih seimbang dalam keluarga, pengaturan kerja yang fleksibel oleh majikan, jaringan sokongan komuniti serta penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak, warga emas, kesihatan dan pengangkutan yang mudah diakses merupakan antara sokongan yang diperlukan.

Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kekangan masa dalam isi rumah, malah berpotensi meningkatkan penyertaan ekonomi dan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan.

Kemiskinan masa
Kesejahteraan isi rumah tidak seharusnya dinilai melalui pendapatan, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan sahaja. Masa juga merupakan sumber penting.

Apabila tuntutan pekerjaan berbayar dan kerja domestik mengambil sebahagian besar masa sehingga mengehadkan rehat, kesihatan, pembelajaran dan kehidupan sosial, keadaan ini boleh dikaitkan dengan kemiskinan masa.

Konsep ini bukan merujuk kepada kelemahan mengurus masa, tetapi kepada kekangan masa akibat tanggungjawab kerja berbayar dan tidak berbayar.

Menjaga keluarga sememangnya boleh memberikan kepuasan, namun masalah timbul apabila tanggungjawab terlalu tertumpu kepada seseorang sehingga mengehadkan pilihan dan kesejahteraannya.

Justeru, kerja domestik perlu diiktiraf sebagai satu bentuk kerja yang menggunakan masa dan tenaga, walaupun tidak dibayar.

Apabila menilai kesejahteraan keluarga, persoalannya bukan sekadar berapa pendapatan isi rumah tetapi juga siapa melakukan kerja domestik, berapa banyak masa digunakan, adakah tanggungjawab itu dikongsi dan berapa banyak masa yang masih tinggal untuk diri sendiri.

Kerja domestik mungkin tidak mempunyai slip gaji tetapi tanpanya kehidupan keluarga dan kegiatan ekonomi harian sukar berfungsi. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini