Baling molotov cocktail ke penempatan Rohingya, 13 lelaki direman

Baling molotov cocktail ke penempatan Rohingya, 13 lelaki direman

Ab. Rahaman Arsad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 13 lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian membaling molotov cocktail ke penempatan etnik Rohingya menerusi siri serbuan di sekitar daerah ini bermula Rabu hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 31 tahun itu ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Menurut beliau, semakan rekod mendapati empat daripada suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam operasi berasingan itu, polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, tiga pasang pakaian serta tiga buah topi baseball yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat.

“Kesemua suspek telah dibenarkan reman oleh Mahkamah Majistret di sini mengikut tempoh berbeza bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan beberapa buah rumah yang menjadi penempatan etnik Rohingya di Kulai Besar, Kulai terbakar setelah dibaling oleh bon api (Molotov cocktail), awal pagi Selasa lalu.

Dalam laporan terdahulu, Ab Rahaman dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video yang tular melalui media sosial Facebook.

Jelasnya, video berkenaan memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang Melayu untuk datang ke kawasan Kulai selain mendakwa orang Melayu sebagai pengecut serta tidak berani masuk ke kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, empat suspek direman selama lapan hari manakala empat lagi suspe direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

Katanya, seorang suspek direman selama lima hari bermula Khamis lalu sehingga esok manakala empat suspek lagi direman selama tujuh hari bermula hari in hingga Ahad ini.

“PDRM Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau perlakuan jenayah yang boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian masyarakat di negeri ini.

“Siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan tegas tanpa mengira kedudukan mahupun status pelaku yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan jenayah untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2212999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini