KOTA BHARU: Tambang serendah RM125 sehala bagi perjalanan Transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu menawarkan pilihan baharu kepada orang ramai khususnya yang mahu menikmati perjalanan lebih selesa antara Lembah Klang dengan Pantai Timur.
Ia bukan sahaja memberi alternatif kepada pengguna yang kerap melakukan perjalanan jauh malah memudahkan urusan pulang ke kampung, bekerja dan bercuti apabila perkhidmatan berkenaan mula beroperasi kelak.
Bagi Norfadilah Yaacob, 40, berkata, penetapan harga tiket yang bersesuaian dengan kemampuan pengguna penting bagi memastikan ECRL dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, bukan hanya mereka yang mempunyai pendapatan tinggi.
Katanya, kadar tambang itu disifatkan berbaloi dan memberi pilihan kepada pengguna untuk menikmati kemudahan awam yang lebih selesa serta pantas.
“Harga itu, boleh dipertimbangkan pengguna terutama mereka yang mahu mencuba perkhidmatan rel baharu yang menghubungkan Lembah Klang dengan Kelantan.
“Pengguna tentu berharap harga yang ditawarkan setimpal dengan kemudahan dan perkhidmatan yang diterima kerana ia melibatkan jarak perjalanan yang jauh,” katanya.
Norfadilah memberitahu, kemudahan mendapatkan tiket serta maklumat perjalanan yang jelas juga penting bagi membantu pengguna merancang perjalanan lebih awal, khususnya ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
Bagi Ain Muhammad, 21, pula, tempoh perjalanan yang lebih singkat menjadikan ECRL sebagai pilihan menarik bagi mereka yang mahu bergerak antara Lembah Klang dengan Kelantan.
Katanya, perjalanan menggunakan pengangkutan rel yang selesa boleh mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama bagi perjalanan jarak jauh.
“Selain harga tiket, tempoh perjalanan, keselesaan dan ketepatan masa juga menjadi pertimbangan.
“Jika semua aspek ini dapat dipenuhi, ECRL berpotensi menjadi antara pilihan utama orang ramai untuk ke Pantai Timur,” ujarnya.
Mohd. Nurul Mohd Yusof, 40, pula berharap perkhidmatan berkenaan dapat memudahkan perjalanan keluarga yang mahu pulang ke kampung tanpa perlu memandu untuk tempoh yang panjang terutama musim perayaan.
Katanya, orang ramai turut mengharapkan sistem pembelian tiket yang mudah dan maklumat jadual perjalanan yang jelas bagi membolehkan mereka membuat perancangan lebih teratur.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Mohd. Saiful Azwal Wan Mohamad berkata, harga tiket itu mampu menarik lebih ramai kunjungan orang ke negeri ini.
Katanya, ia sekali gus mampu merancakkan sektor pelancongan Kelantan pada masa hadapan.-UTUSAN.











