KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji sama ada industri penternakan babi wajar diteruskan di negara ini atau bekalan daging berkenaan boleh diperoleh menerusi import.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan berdasarkan isu pencemaran, kebajikan rakyat serta kesesuaian industri berkenaan di negara ini.
“Sebenarnya saya rasa tidak keterlaluan kalau saya usulkan di sini supaya kerajaan Persekutuan mempertimbangkan adakah wajar Malaysia terus mempunyai ladang-ladang babi dalam negara kita.
“Bekalan daging babi boleh diperoleh secara import seperti yang dilakukan di Singapura. Malahan ada kemungkinan daging babi import boleh lebih murah daripada yang diternak di Malaysia,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Saiful turut menuntut supaya ladang penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor ditutup bagi menyelesaikan isu berkenaan secara muktamad.
“Saya menuntut supaya kita mencari penyelesaian muktamad isu ini. Ladang penternakan babi harus ditutup!.
“Lihat di Selangor. Kerajaan negeri mengambil langkah menghentikan penternakan babi di Tanjong Sepat secara berperingkat, selain membincangkan pemulihan tanah dan penyediaan sumber pendapatan alternatif untuk penternak.
“Saya menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana atas inisiatif baginda, perkara ini dapat dilakukan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan di Selangor membuktikan perubahan aktiviti ekonomi boleh dirancang dan dilaksanakan, sekali gus berpotensi dijadikan model bagi menyelesaikan isu sama di Tasek Gelugor.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebajikan penternak perlu terus dijaga dengan memastikan mereka tidak ditinggalkan tanpa bantuan sepanjang proses peralihan.
“Kerajaan perlu menyediakan pelan peralihan yang adil, dengan tempoh pelaksanaan yang jelas, penilaian tanah, bantuan kewangan bersesuaian dan latihan untuk beralih kepada bidang penternakan lain,” katanya.
Wan Saiful berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara rasional dan tidak dijadikan polemik perkauman atau agama.
“Tapi hati-hati jangan jadikan isu ini isu perkauman atau agama. Kita mesti meneliti isu ini sebagai isu pencemaran, isu kebajikan rakyat terbanyak dan sebagai isu kesesuaian sesuatu industri untuk negara kita,” katanya. – UTUSAN










