KUALA LUMPUR: Penduduk yang terjejas akibat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, Jelutong, tidak layak menerima pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya menduduki tanah tanpa geran.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang telah membelanjakan RM142,000 sebagai bayaran ex-gratia kepada tujuh keluarga yang terjejas akibat pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, bayaran itu diberikan oleh kerajaan negeri dalam bentuk pampasan atau saguhati kepada keluarga terbabit meskipun mereka tidak layak menerima pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Pulau Pinang sebenarnya ada membayar pampasan ataupun saguhati kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Contohnya, telah berbelanja ex-gratia sebanyak RM142,000, melibatkan kira-kira tujuh keluarga.
“Dan ini telah diberi pampasan oleh pihak kerajaan negeri kepada mereka ataupun saguhati kepada mereka. Walaupun sepatutnya tidak layak, kerana di peringkat pusat kita tidak memberi apa-apa kepada mangsa kerana istilahnya mereka tinggal di tempat tanah yang tidak ada geran. Tidak ada geran. So kita tidak membayarkan rugi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji (PH-Jelutong) yang meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang dibelanjakan bagi projek tebatan banjir Sungai Pinang, termasuk pampasan kepada penduduk yang terjejas akibat kerja pelebaran dan pendalaman sungai.
Rayer turut meminta kerajaan menyatakan jumlah pampasan yang telah dibayar, bilangan penduduk yang masih menunggu bayaran serta jumlah peruntukan yang disediakan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kebajikan penduduk terlibat terus terpelihara.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 melibatkan kos keseluruhan RM150 juta, dengan nilai kontrak sebanyak RM114 juta.
Katanya, sebanyak RM60 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan projek itu setakat Oktober 2026.
“Dan kos projek ini adalah agak besar di Jelutong Fasa 1 berjumlah RM150 juta. Dan kos projek ini melibatkan dan sebagaimanakah kos kontrak untuk projek adalah RM114 juta.
“Sehingga Oktober kita dah berbelanja sebanyak RM60 juta. Kita masih berbaki lebih kurang dalam hampir separuh dan itu saya katakan mungkin hujung tahun depan boleh kita menyiapkan sepenuhnya bagi projek RTB di Sungai Pinang yang telah memberi kesan yang sangat baik kepada Parlimen Jelutong dan tiga DUN yang sedang terlibat,” katanya. – UTUSAN











