SUDAH tiga kali nama Naib Presiden paling kanan UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut, yang dikatakan mengetuai tiga pertemuan dengan kumpulan besar ahli Parlimen UMNO.
Pertemuan pertama Jumaat lepas di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur; kedua, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang kelmarin bertemu presiden parti, sebelum diikuti ketiga beberapa jam kemudian sebelah malamnya di Wisma Perwira, sebuah bangunan dimiliki tentera.
Dilaporkan siri pertemuan itu untuk memastikan ahli-ahli Parlimen UMNO, kalau tidak semuapun tetapi sebahagian besar daripada seluruh 38 orang – kekal dalam kerajaan. Ini untuk memastikan usaha-usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, yang sedang menggila, diteruskan.
Jika itu alasan UMNO tidak keluar kerajaan, ia sebenarnya menepati kekuatan dan tiang seri UMNO itu sendiri kerana kuatnya seni politik diplomasi. Dan andai kita tanya rakyat pada ketika dan saat pandemik dahsyat ini, mereka mahukan kestabilan ekonomi, kestabilan politik dan kerukunan hidup di dalam masyarakat.
Apatah lagi lebih utama, tiga menteri UMNO bertanggungjawab sebagai barisan hadapan memastikan wabak Covid-19 dilupuskan. Selain Ismail Sabri, dua lagi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan). Apa kata rakyat nanti bila secara tiba-tiba UMNO meninggalkan kerajaan yang masih berusaha ini?
UMNO juga pada masa sama mencermin diri. Barisan Nasional yang diketuainya hanya memiliki 42 kerusi (UMNO 38, MCA, 2, MIC 1 dan PBRS, 1). Untuk membentuk kerajaan baharu, majoriti mudah 112 kerusi Parlimen diperlukan. Maka UMNO mesti mendapat sokongan parti lain untuk memerintah. Jika Pakatan Harapan (PH) dijadikan sandaran UMNO sekali pun, adakah sebahagian besar ahli parlimen parti itu menyokong ke seberang?
PH memiliki 88 kerusi (DAP 42, PKR, 35 dan Parti Amanah Negara, 11). Kurang 24 kerusi lagi untuk mencapai 112. Cukupkah akuan bersumpah (SD) yang mahu dikutip daripada ahli-ahli parlimen UMNO? Kurang 10? Hanya lima sahaja? Tetap belum cukup.
LANGGAR INSTITUSI PRESIDEN?
Dan adakah Ismail Sabri atau lain-lain ahli parlimen UMNO jika diamati cakap-cakap daripada tiga pertemuan itu melanggar institusi presiden yang kita maklum ahli UMNO cukup berpegang kepada walak? Walak adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh, lagi padu serta tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.
Ya, agak sukar untuk ditafsirkan apa yang berada dalam fikiran sebahagian pemimpin kanan UMNO waktu ini. Namun realitinya UMNO dilihat paling toleran sesama para pemimpinnya. Mereka tidak mengeruhkan parti meskipun ada cakap-cakap pemimpinnya dikatakan pernah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong orang itu, bahkan ‘menghubungi’ pemimpin parti lawan. Tiada isu dihadapkan ke jawatankuasa disiplin kerana melanggar keputusan parti – No Anwar, No DAP.
UMNO berdepan cabaran yang bergelora sejak kehilangan kerajaan 9 Mei 2018. Antaranya, soal untuk pertimbang meletakkan mana satu aras paling penting, kepentingan parti atau individu? Juga, isu integriti yang membadai kepimpinan, institusi presiden yang mencetuskan cakap-cakap kewujudan kem tertentu yang cuba menggugat kepimpinan.
Jika tidak ditangani secara bijaksana, isu-isu ini mungkin membawa perpecahan, kelemahan dan hilangnya erti tiga “B” yang dilaungkan selama ini: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Adakah UMNO perlukan revolusi dalamannya? Dan UMNO kena catch up the bull by the horns? Maknanya, terus berani dan yakin berdepan dengan kesusahan, bahaya dan hal-hal sukar.
Bercakap tentang revolusi, kata orang UMNO, parti itu mesti bersedia dan tidak hanya ‘mengambil pisau tetapi gergaji berantai untuk potong apa sahaja yang patut dipotong’. Kata orang UMNO lagi, lihat sahaja Pakatan Harapan tempoh hari. Tidak perlu cawangan, bahagian atau ahli 3.6 juta atau barisan Kabinet yang melebihi 30 orang. Tetapi cukup hanya menggerakkan beberapa ikon, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Mohamed Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar untuk menumbangkan Barisan Nasional. Maka UMNO perlu melihat kepada realiti. Tidak perlu kosmetik sangat, apa lagi berdepan cabaran PRU-15. Medan baharu sebenarnya sudah dibuka untuk UMNO, PH dan PN mengenai siapa yang boleh meyakinkan pengundi kelak.
Dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, sejumlah 46.29 peratus pengundi Melayu menyokong BN (78 kerusi Parlimen). Di 54 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO sahaja, terdapat 2.56 juta atau 21.15 peratus pengundi yang menyokong kuat parti itu.

RAKYAT CERDIK
Cuma, mana-mana parti politik politik pun hari ini mesti beringat. Rakyat bukan sahaja cerdik, tetapi memantau mereka. Kalau di Amerika dan England, rakyatnya menukar kerajaan setiap dua penggal. Di England, ada kerajaan baharu setiap 10 hingga 15 tahun. Dua atau tiga pilihan raya sudah berganti kerajaan yang baharu. Walaupun kerajaan itu ada prestasi baik, tetap ditukar. Sistem dua parti seperti itu tidak akan bagi 100 tahun untuk satu-satu parti memerintah.
Di negara ini, kita kena faham lebih 70 peratus rakyat Malaysia melayari Internet. Kanak-kanak lapan ke 10 tahun sudah ada Facebook. Mereka menggunakan telefon bermacam jenama. Mereka jauh lebih pintar dari zaman kita dahulu.
Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana kita hendak memperbodohkan generasi ini hanya dengan perubahan kosmetik. Tidak, perubahan ini semua kena nyata dan drastik. Rule of law, not rule by law, akauntabiliti, ketelusan, kebebasan dan kehakiman, kini berada di tangga nombor satu rakyat.
Barangkali ada beberapa perkara yang rakyat tidak suka, tetapi ia ada dalam tangga teratas di peringkat Persekutuan. Mereka bukan nak cipta semula wheel (roda). Cuma kata mereka, wheel kena berputar.
Dan sebilangan rakyat mungkin masih perlu ‘bayar bawah meja’ untuk selesaikan sesuatu hal. Itu yang perlu diperangi habis-habisan.
Mana-mana parti politik, tidak kira UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP, Amanah, Pejuang, Muda, Putra atau apa sahaja parti, sudah sampai ke peringkat “change or die” (berubah atau mati) demi untuk meraih sokongan rakyat.
Di England, penduduknya tidak bercakap tentang pemimpin mereka. Mereka bercakap tentang Buruh-Konservatif. Di Amerika pula tentang Republikan-Demokrat. Pemimpinnya tak penting. Tetapi di Malaysia, kita masih bercakap tentang pemimpin-pemimpin yang sama sejak era 1980-an.
Jadilah, seorang statesman, tidak hanya sekadar seorang ‘warlord politik’ semata-mata.










