Zahid...ayah yang tiada rotan - Utusan Malaysia

Zahid…ayah yang tiada rotan

AHMAD Nazlan Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), suasana politik negara bergelora apabila berubahnya kerajaan memerintah lebih 60 tahun diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, kerajaan PH tidak kekal lama, hanya mampu bertahan 22 bulan dan selepas itu tertubuh pula kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Selepas itu, pelbagai isu melanda politik negara termasuk sokongan wakil rakyat terhadap Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; isu akuan bersumpah (SD); isu pembukaan sidang Dewan Rakyat dan titah Yang di-Pertuan Agong termasuk isu membabitkan UMNO yang dikatakan berpecah.

Ahli Parlimen Jerantut, DATUK AHMAD NAZLAN IDRIS berkongsi pandangannya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan jurugambar, SHAIKH AHMAD RAZIF, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk kongsi isu SD yang ditandatangani?
AHMAD NAZLAN: SD pertama saya tandatangan adalah kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang minta sokongan untuk menjadi PM interim. Apa yang saya difahamkan begitu jika Majlis Raja-raja Melayu memutuskan kerajaan interim dan diperlukan PM interim, Hishammuddin akan masuk. Kemudian, SD kedua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenapa Anwar sebagai Perdana Menteri?
Ada orang kata, Anwar tidak boleh percaya. Kita kena ingat, dalam kerajaan yang ada sehingga kini semuanya DNA (asid deoksiribonukleik) UMNO, PM PH, DNA UMNO, PN juga DNA UMNO dan Anwar, DNA juga UMNO. Maknanya bila UMNO, ia tidak lari daripada kuasa sultan, Melayu dan agama. Soal pendapat kata Anwar tidak boleh ‘pakai’, yang ada ketika ini baik atau tidak? Pada saya, kita perlu berlapang dada.

Pandangan Datuk bila Agong minta Parlimen disegerakan?
Tiga kali Yang di-Pertuan Agong bertitah tentang keperluan Parlimen bersidang ketika darurat. Bahasanya cukup lembut dan berhemah di mana raja mohon kepada rakyat biasa, tetapi apa yang kerajaan laksanakan? Tunggu Ogos, prosedur operasi standard (SOP) belum siap. Rakyat makin menderita, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan dan kes positif Covid-19 semakin bertambah walaupun darurat diisytiharkan.

Pemimpin UMNO hilang kepercayaan terhadap Zahid?
Rezekinya Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sekarang ini dia tiada rotan, ayah yang tiada rotan. Anak-anak bukan anak-anak dulu kerana dididik dengan kemewahan. Dari segi ketaatan kepada emak ayah pun sudah pelbagai. Dari segi hormat pun sama kerana hambatan pembangunan. Itu yang berlaku kepada Presiden UMNO, dia bukan PM.

Senang cakaplah, Presiden tidak betul dan sebagainya kerana dia tak ada kuasa. Cuba dia PM, ada keluar tak daripada mulut pemimpin UMNO mempertikai Presiden? Cium tanganlah, saya bukan pendukung Zahid. Dari dulu saya tiada apa-apa kepentingan dan Zahid saya hormat dia sebagai Presiden UMNO. Kena ada adablah, hendak tegur imam pun ada adab dan syaratnya. Selepas ditegur dan tak betul lagi, apa kita buat? Kita mufarakah iaitu keluar daripada sembahyang tidak berimamkannya. Dalam konteks UMNO, kalau tidak berimamkan Presiden, keluar dari UMNO, itu prinsip.

Kita mesti memahami kapasitinya sebagai Presiden parti ketika ini. Kalau bising-bising, esok waktu pemilihan parti lawanlah, tak ada masalah. Sekarang ini Zahid pemimpin parti, baik dan buruknya semua Presiden yang bertanggungjawab. Kita sedap cakap sahaja.

Benarkah Zahid tiada aura?
Tak ada auralah sebab tiada kuasa. Dulu semasa jadi kerajaan, beliau ada aura sebab dalam kerajaan. Lihat sekarang pemimpin UMNO dalam kerajaan ketika ini, ada aura sebab ada kerajaan.

Silap-silap yang kata Presiden tidak ada aura orang pertama mula bertepuk tangan. Minta maaflah, ini fiil atau tabiat orang politik, jatuh dipijak, naik disanjung.

Wajarkah kluster mahkamah dikaitkan dengan UMNO?
Pertamanya, pada saya pemimpin lain dalam parti jangan berkata kita tidak ada isu mahkamah. Minta maaflah, mungkin isu kita orang tidak tahu ataupun tidak dimaklumkan. Kalau kita tanya, adakah kita ini memang bersih sangat, betul-betul bersihkah?

Keduanya, kes pemimpin berkenaan, adakah sepenuhnya kes peribadi? Atau ada kaitan dengan membela kekuatan parti atau kita juga ada sumbangan terhadap keperluan itu, maknanya kita juga ada minta duit. Sebagai orang yang berkuasa, dia kena cari duit, parti yang memerintah sekarang pun begitu, mana-mana parti pun akan buat benda sama, cuma yang ada kes mahkamah itu dikesan.

UMNO ketika ini berpecahkah?
Pertamanya, kita kena mengakui betul tidak ada? Kalau kita lihat macam ada, tetapi kalau kita memerhati perjalanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, saya nampak tiada. Usaha mungkin ada tapi secara jelas tiada. Tidak ada pula kita nampak MKT buat gerakannya sendiri. Timbalan Presiden pun sama, naib-naib presiden, nampaknya secara jelas tiada. Soal individu mungkin Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim, itu tidak boleh dilihat UMNO berpecah kepada tiga atau empat kumpulan. Jika ada pun, mungkin ia ciptaan musuh kerana strategi pecah dan perintah inilah memudahkan mereka untuk terus melenyapkan UMNO dari politik Malaysia. Tapi kalau ahli UMNO melihat secara menyeluruh, tanggungjawab kita bersama kita ketepikan pemimpin yang hendak membawa perpecahan kepada UMNO dan kita perbetulkan semuanya.

Soal kuasa Presiden melantik pengerusi badan perhubungan, menukar pengerusi badan perhubungan itu hak Presiden dan mungkin Presiden hendak mengembalikan rasa hormat kepada Presiden itu memerlukan perubahan-perubahan di peringkat negeri, itu hak Presiden.

Mantapkah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Saya lihat dia mungkin dari segi kekukuhan, kemantapan parti itu sendiri, parti kerajaan. Kalau kita lihat kerajaan BN dulunya memang kukuh, bahasa disebut centre of command. Maknanya, apa saja kata PM dituruti. Hari ini kalau kita ambil contoh PKP sahaja, arahan begitu jelas, menteri balik luar negeri kena kuarantin, tak kuarantin. Kalau menteri sendiri tak kuarantin, ini arahan kerajaan. Mengapa jadi macam itu? Sehingga terbaru pesta makan-makan dalam kebun. Pada saya ini tiada tindakan, suruh rakyat ikut, tapi pemimpin tak ikut, macam ketam suruh anaknya berjalan betul. Itu kemungkinan kes ini bila buat darurat makin bertambah, sebab dalam kalangan pemerintah sendiri tidak akur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×