TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah giat mengesan pemilik tanah yang memberi sewa kepada entik Rohingya sehingga pelarian itu membuka ladang sireh di Kampung Padang Guchil di sini sebagaimana tular di media sosial pada 13 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, susulan itu MDTM sudah menyita dan mengeluarkan beberapa notis berhubung kesalahan pembinaan tanpa kebenaran dan ketiadaan permit kerja tanah di kawasan berkenaan.
Katanya, terdahulu Bahagian Perancang dan Bahagian Penguatkuasa melakukan lawatan serta pemeriksaan di lokasi berkenaan pada Khamis lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat struktur binaan yang digunakan sebagai tempat kediaman serta kawasan tanaman sireh. Keadaan itu didapati tidak selaras dengan syarat nyata kegunaan tanah berkenaan yang ditetapkan untuk tanaman getah dan dusun.
“Hasil temu bual mendapati empat warga Rohingya yang berada di lokasi berkenaan menyewa premis itu pada kadar RM2,000 setahun daripada seorang individu yang identitinya belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Hilmi memberitahu, siasatan lanjut mendapati etnik Rohingya sudah menduduki kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.
Katanya, bagi kawasan ladang sireh MDTM sudah mengarahkan kerja-kerja pembersihan tanah dihentikan dengan segera kerana tiada kebenaran.
“Semasa operasi itu, kita telah periksa empat etnik Rohingya. Bagaimanapun hanya seorang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” ujarnya.
Sebelum itu aktivis media sosial yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd. Azhan Mohd. Adnan atau Abbe Hae menerusi entri Facebook miliknya semalam telah berkongsi perkara tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tanah seluas 2.8 hektar itu telah ditanam dengan sireh oleh etnik Rohingnya.-UTUSAN











