PARIS: Ratusan ribu penduduk Eropah menyerta demonstrasi berasingan di beberapa negara bagi membantah peningkatan kos sara hidup, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan di seluruh Kesatuan Eropah (EU).
Gelombang protes di Belgium, Perancis, Itali dan Portugal mencetuskan ketegangan apabila sebahagian demonstrasi bertukar ganas, termasuk pertempuran dengan polis, rompakan kedai dan kebakaran.
Perancis menyaksikan demonstrasi paling bergolak dalam beberapa dekad, dengan lebih 550,000 orang menyertai perhimpunan di seluruh negara.
Perarakan yang menyusuli beberapa minggu protes pelajar bertukar menjadi pertempuran selepas kumpulan kecil yang bertindak ganas menyasarkan bangunan awam, butik mewah dan pasar raya, selain menyerang kenderaan serta anggota polis.
Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu berkata, seramai 1,200 orang ditahan manakala 150 anggota polis cedera.
Agensi berita Perancis, AFP melaporkan puluhan kedai di Paris, Marseille, Nice, Nantes, Bordeaux, Limoges, Lille, Toulouse dan Strasbourg dirompak. Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire berkata, seluruh jalan di ibu negara itu musnah teruk akibat kejadian berkenaan.
Kebakaran yang dicetuskan penunjuk perasaan bertopeng di Limoges memusnahkan sebahagian besar bangunan dewan bandar raya berusia lebih 140 tahun, manakala dewan bandar raya di Marseille dan Lille dipecah masuk serta dirosakkan. Di Lyon, penunjuk perasaan membakar pejabat pelancongan bandar itu.
Di Brussels, ibu negara Belgium yang menyaksikan protes pelajar selama beberapa minggu berhubung yuran pendaftaran universiti, polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Polis mendakwa kumpulan itu membaling objek ke arah mereka dan mencetuskan kebakaran. Di Liege, bandar yang terletak di timur Brussels, polis turut menggunakan meriam air untuk menyuraikan demonstrasi.
Sementara itu, di Lisbon, ibu negara Portugal, puluhan ribu penunjuk perasaan berarak membantah krisis kos sara hidup, gaji rendah dan kesukaran mendapatkan kediaman di bandar utama.
Harga rumah di Portugal meningkat lebih dua kali ganda sejak 2017, manakala kadar sewa bagi kontrak baharu turut melonjak hampir pada kadar yang sama.
Menteri Hal Ehwal Parlimen Portugal, Carlos Abreu Amorim berkata, kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan di jalanan. Penunjuk perasaan pula mendakwa pemimpin mereka tidak memahami kesukaran yang dihadapi rakyat.
Di Milan dan Bologna, polis Itali melaporkan beberapa demonstrasi yang pada mulanya berlangsung secara aman bertukar tegang apabila penunjuk perasaan membaling batu dan bertempur dengan anggota keselamatan. Media Itali melaporkan beberapa kecederaan dan penahanan berlaku.
Albania turut menyaksikan protes antikerajaan yang memasuki hari kelima berturut-turut pada Sabtu, dengan penunjuk perasaan di ibu negara Tirana menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Edi Rama.
Demonstrasi itu didorong kemarahan terhadap dakwaan rasuah, masalah pengangguran, keadaan universiti dan yuran pengajian yang tinggi. Sebahagian penunjuk perasaan bertempur dengan polis, manakala pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan mereka.
Gelombang ketidakpuasan hati itu berpotensi merebak ke negara Eropah lain. Pakar Undang-undang dan Dasar EU di Sekolah Perniagaan HEC Paris, Alberto Alemanno berkata, tanda-tanda awal gerakan serupa mula muncul di Greece, Jerman dan Austria, dengan mobilisasi dijangka berlaku minggu depan.-AGENSI











