Tiada harga diri bangkit undi tak percaya - Utusan Malaysia

Tiada harga diri bangkit undi tak percaya

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN tetap agresif berperanan selaku Pengarah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) parti.

Karakternya masih sama. Kekal tenang dan spontan menjawab pelbagai isu dan spekulasi yang melanda UMNO dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) – meskipun beliau sendiri mengakui ia bukan perkara mudah untuk dijawab dan diselesaikan. Apatah lagi tentang UMNO, sana sini orang bercakap pasal ribut dalam cawan parti hingga air sudah tumpah pun.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NUR ASLINDA MOHD. NASIR yang menemuinya kelmarin, ini jawapan Tajuddin kepada beberapa isu:

KENAPA TANGGUH PEMILIHAN 18 BULAN?
Kalau ikuti denyut nadi rakyat, mereka nak UMNO tumpu kepada soal membantu mereka dalam keadaan susah. Mereka tak nak dengar soal bertanding berebut jawatan. Ini bukan soal pemilihan secara online atau tidak, tetapi isu rakyat marah orang politik ini asyik-asyik kejar jawatan sahaja.

MKT pun sudah buat keputusan di mana kalau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) nak kekal sebagai Presiden sampai 2023 pun boleh. MKT sudah beri kuasa melalui usul pemilihan ditangguhkan sehingga 2023. Kalau tiada pemilihan, dia yang akan kekal di situ.

Sibuk nak buat pemilihan, yang nak menggantikannya bersihkah? Bersih yang betul-betul bersih? Masing-masing ada masalah masing-masing. Termasuk mana-mana parti pun. Yang tak tunai janji pun tak bertanggungjawab, tipu orang ramai pun dikira tidak bersih juga.

Apa masalah sekarang dengan kepimpinan UMNO? Kluster mahkamah? Kita tahu setengah daripada kes itu political persecution. Jadi mainan politik sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad di bawah Pakatan Harapan, jadi kita pula nak bersama dengan dia menekan orang-orang ini, betulkah caranya?

Betul atau tidak, biarlah mahkamah yang menentukannya nanti.

BACK UP PLAN JIKA ZAHID DIJATUHKAN HUKUMAN?
Kita ada hierarki UMNO, kita ada Timbalan Presiden, kita ada Naib Presiden, Ahli MKT yang hebat-hebat. Kalau ikut tradisi, itulah caranya. Tak ada lah orang yang tidak ada kena mengena, setakat ketua bahagian nak ditonjolkan, apa pasal? Timbalan presiden kita ada.

UMNO DIKAWAL ZAHID?
Presiden tak pernah menyekat mana-mana ahli bercakap, cakaplah apa sahaja. Dulu saya pun kuat menentangnya, dia dengar sahaja. Panas telinga dia saya bagi, mana yang tidak betul saya bagi tahu. Kalau betul ada benda yang nak dicakap, cakaplah depan-depan, kenapa cakap belakang-belakang? Apa takut? Ini nak bercakap tak berani. Patutnya semua orang UMNO adalah orang Presiden. Kenapa mesti ada bukan orang Presiden? Kenapa mesti berpecah? Kalau ada yang niat tidak baik, lupakan sahaja.

SD ANWAR PM KE-9?
Tidak berlaku sesi tandatangan SD (akuan bersumpah) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020. Setelah parti buat keputusan, saya ikut parti. Sebelum itu memang kita ada bincang-bincang perkara ini. Apa salah? Parti belum buat keputusan kan waktu itu? Kita explore tidak ada masalah. Sekarang pun kita boleh explore tetapi tidak bermakna ia boleh jadi. Jadi atau tidak jadi kena bawa kepada MKT. Kalau Presiden jumpa siapa pun, jumpa lah. Nak bagi jadi kena bawa kepada MKT. Di situlah goalkeeper nya. Tendang tak kena, sepak tiang gol lah kau.

SIAPA HISHAMMUDDIN? APA TINDAKAN UMNO?
Tak betul buat kerja tu (tandatangan SD sokong Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap UMNO semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong). Apa kerja ni? Apa pasal, kalau nak bercakap kepada Agong mewakili parti, siapa yang patutnya ikut adat? Mestilah ketua parti (Presiden UMNO). Kalau dia uzur tak dapat pergi, dia boleh mewakilkan kepada Timbalan atau Naib Presiden. Kenapa wakil kepada Hisham? Siapa dia nak bercakap untuk parti?
Apa pun, UMNO sudah buat keputusan untuk tarik diri pada PRU-15. Kalau esok pilihan raya, esoklah tarik, kalau tahun depan, tahun depan lah.

PAS MULA SEDAR?
Kalau keadaan terpaksa, UMNO akan bertanding sendiri dalam PRU-15. Tapi kita masih nak selamatkan Muafakat Nasional (MN) di mana kita boleh bertanding mengelakkan tiga penjuru. Pendirian UMNO perlu jelas, kita mahu bersama Pas dalam MN. Ya, sebelum ini Pas macam tidak peduli lagi dengan MN, mereka nampak dah lari jauh, renggang dari UMNO.

Tetapi sekarang sudah berbeza, dah sedar. Mereka tidak boleh tinggalkan UMNO, kalau tinggalkan juga mereka akan rugi. Sebab itu (Setiausaha Agung Pas), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ada buat kenyataan UMNO ini ibarat adik sesusu.
Kalau bukan UMNO, siapa nak tolong Pas? Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)? Okay ke? Pas sendiri dah jawab. Bermakna Pas sudah menilai, dulu nak kahwin dengan janda muda, bila ada masalah, balik kepada bini tua.

KEPUTUSAN ZAHID BUKAN KEPUTUSAN PARTI
Kita dah tolak PKR, DAP. Itu keputusan kita. Kalau ada perubahan pun, kena bawa kepada parti dan MKT. Ini ada yang kata Zahid nak bawa UMNO dengan PKR. Kenapa naif sangat? Bolehkah Zahid buat keputusan seorang diri? Bawa keputusan ke langit biru? Bolehkah?

Biarlah Zahid bercakap dengan siapa pun, jumpa dengan siapa. Kalau Zahid bincang, telefon sana sini, ia bukan suatu keputusan. Kena juga bawa kepada MKT.

MKT saya yakin tidak akan setuju untuk UMNO bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Jangan risaulah. Kalau UMNO bertanding kerusi, kita akan bertanding 120 kerusi, kalau dengan Pas kita akan bertanding 90 kerusi. UMNO dah buktikan kemenangan ini pada Pilihan Raya Kecil, menang 7-0.

UNDI TIDAK PERCAYA?
Ramai buat telahan yang UMNO telah berikan kata dua atau ugutan semasa sidang Parlimen dibuka. Kalau kata dua, mesti ada tindakan yang diambil sekiranya tidak dipenuhi. Setahu saya tidak ada.

Yang kita nak bincangkan semasa bersidang nanti adalah cara-cara nak tangani Covid-19, bekalan vaksin, sasaran dan kumpulan yang sangat penting untuk didahulukan dapat vaksin. Selain itu, kluster tempat kerja seperti kilang dan apa tindakan susulan kerajaan.

Kita bukan nak jatuhkan kerajaan. Kalau ada yang buat macam itu, maka tak ada harga diri lah. Cakap lain buat lain, kita akan bantu kerajaan tangani pandemik ini. Kita bukan nak jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya, itu janji kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×