PETALING JAYA: Dua kali pulang dengan perak, Low Zi Yu akhirnya menamatkan sumpahan final Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila bergandingan dengan Genevie Lim untuk menghadiahkan Malaysia gelaran sulung beregu wanita selepas penantian 34 tahun, kelmarin.
Pasangan pilihan kedua itu terpaksa mengharungi pertarungan mendebarkan sebelum menundukkan gandingan Jepun, Nijika Kamata-Shizuku Kashio 15-7, 9-15, 15-12 dalam aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir.
Bagi Zi Yu, kejayaan itu lebih daripada sekadar pingat emas apabila pemain berusia 16 tahun berkenaan akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan selepas dua percubaan terdahulu berakhir dengan kekecewaan pada 2024 dan 2025 bersama pasangan berbeza.
Pemain kelahiran Segamat, Johor itu sebelum ini turut mara ke final bersama Noraqilah Maisarah Ramdan pada 2025 dan Dania Sofea Zaidi pada 2024, namun gagal membawa pulang gelaran juara.
“Gembira sangat, kali ini saya dapat pingat emas, tetapi pada set terakhir tadi saya sangat gementar dan menyangka saya akan memperoleh pingat perak ketiga di Kejohanan Remaja Dunia.
“Saya sangat bertuah kerana akhirnya dapat memenangi pingat emas ini untuk negara,” kata Zi Yu ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Tekanan yang menghantui Zi Yu turut dirasai Genevie apabila pemain itu mengakui tidak mahu sekali lagi menamatkan kempen dengan pingat perak, terutama ketika perlawanan terpaksa ditentukan menerusi set ketiga selepas mereka kehilangan set kedua 9-15.
“Saya berasa sangat gementar kerana tidak mahu mendapat satu lagi pingat perak, dan apabila perlawanan berlanjutan ke set penentuan, itulah bahagian paling kritikal.
“Memang banyak kebimbangan yang saya rasakan, terutama apabila kami mempunyai beberapa mata perlawanan tetapi lawan semakin menghampiri,” kata Genevie.
Lebih manis, kejayaan itu turut menamatkan penantian panjang Malaysia untuk memiliki juara dunia remaja dalam acara beregu wanita sejak kejohanan itu mula dipertandingkan pada 1992, sekali gus mengubah sejarah selepas pencapaian terbaik sebelum ini sekadar pingat perak. – UTUSAN











