Impak Belanjawan 2027 pada kuasa beli rakyat

Impak Belanjawan 2027 pada kuasa beli rakyat

KESAN sebenar bergantung pada perubahan harga barangan, jumlah tanggungan, kos tempat tinggal dan keperluan asas setiap keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Belanjawan 2027 membuka ruang untuk menilai sejauh mana dasar fiskal negara mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat. Belanjawan ini menekankan keperluan mengimbangi pertumbuhan ekonomi, disiplin fiskal dan bantuan kepada rakyat.

Namun, persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat ialah sama ada pendapatan rakyat benar-benar mencukupi untuk menampung peningkatan kos sara hidup.

Bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), ukuran kejayaan belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana dasar tersebut dapat meningkatkan kuasa beli, mengurangkan tekanan kewangan dan membuka peluang untuk memperbaiki taraf hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh itu, Belanjawan 2027 wajar dinilai bukan sahaja melalui angka ekonomi, tetapi juga berdasarkan manfaatnya kepada rakyat. Bantuan meningkat, tetapi adakah kuasa beli bertambah?

Antara pengumuman penting Belanjawan 2027 ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, berbanding RM15 bilion sebelumnya.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan SARA sehingga RM150 sebulan kepada penerima STR yang layak serta bantuan SARA Madani sebanyak RM100 dua kali kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR. Langkah ini turut melibatkan sebahagian golongan M40.

Bagi isi rumah B40, bantuan ini dapat membantu pembelian makanan dan barangan asas serta mengurangkan tekanan terhadap pendapatan bulanan.

Dari sudut ekonomi, bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah juga berpotensi menyokong perbelanjaan domestik kerana sebahagian besar bantuan digunakan untuk memenuhi keperluan harian.

Walau bagaimanapun, peningkatan peruntukan tidak semestinya bermakna kuasa beli rakyat meningkat pada kadar yang sama. Kesan sebenar bergantung pada perubahan harga barangan, jumlah tanggungan, kos tempat tinggal dan keperluan asas setiap keluarga.

Sebagai contoh, keluarga yang menanggung kos sewa rumah, pengangkutan dan pendidikan beberapa orang anak mungkin masih mengalami kekangan kewangan walaupun menerima bantuan dari pihak kerajaan.

Justeru, keberkesanan program bantuan perlu dinilai berdasarkan perubahan kemampuan isi rumah memenuhi keperluan asas, bukan hanya jumlah penerima atau peruntukan tahunan.

Golongan M40 sering dianggap lebih stabil kerana mempunyai pendapatan tetap. Namun, pendapatan kasar tidak semestinya menggambarkan kemampuan kewangan sebenar sesebuah keluarga.

Komitmen pinjaman perumahan, kenderaan, perbelanjaan pendidikan anak-anak, penjagaan ibu bapa dan simpanan persaraan boleh mengurangkan pendapatan boleh guna.

Dalam keadaan harga barangan dan perkhidmatan meningkat, sebahagian keluarga berpendapatan sederhana mungkin semakin sukar membina simpanan kecemasan.

Belanjawan 2027 memperkenalkan beberapa langkah kepada pembayar cukai, termasuk peningkatan ambang pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 dan pengurangan satu mata peratusan bagi kadar cukai dalam julat pendapatan bercukai tertentu.

Perubahan pelepasan dan kadar cukai ini dijangka memberikan pendapatan boleh guna tambahan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Langkah ini berpotensi meringankan beban kewangan, tetapi manfaatnya berbeza mengikut kedudukan cukai individu. Isi rumah yang tidak membayar cukai atau mempunyai pendapatan yang terlalu rendah untuk mendapat manfaat daripada perubahan tersebut mungkin tidak menikmati kesan yang sama.

Oleh itu, dasar yang lebih inklusif perlu mengambil kira perbezaan keperluan antara isi rumah, termasuk keluarga yang mempunyai ramai tanggungan dan mereka yang tinggal di kawasan dengan kos kehidupan yang tinggi.

Belanjawan 2027 turut mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, dengan pengecualian tertentu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang memenuhi syarat diumumkan.

Kerajaan juga menyatakan hasrat memperkenalkan kadar minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan dalam kerangka pendapatan pekerja yang dicadangkan.

Kenaikan gaji boleh meningkatkan pendapatan pekerja, tetapi kesannya terhadap kuasa beli bergantung pada perubahan harga dan kos yang ditanggung.

Sekiranya pendapatan meningkat tetapi perbelanjaan asas turut meningkat dengan ketara, manfaat sebenar kepada pekerja akan menjadi lebih kecil.

Peningkatan kos buruh boleh memberikan tekanan kepada sesetengah perusahaan kecil. Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum perlu disokong oleh latihan kemahiran, penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti dan bantuan penyesuaian perniagaan yang bersesuaian.

Matlamat jangka panjang bukan sekadar memastikan pekerja menerima gaji minimum, tetapi mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan munasabah, perlindungan sosial dan ruang untuk kemajuan kerjaya.

Untuk memastikan manfaat belanjawan berpanjangan, bantuan jangka pendek perlu digabungkan dengan strategi peningkatan pendapatan.

Golongan B40 memerlukan peluang latihan kemahiran dan pekerjaan yang lebih baik, manakala golongan M40 memerlukan persekitaran ekonomi yang membolehkan mereka mengekalkan kestabilan kewangan dan meningkatkan aset keluarga.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga perlu diperkukuh kerana sektor ini menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada ramai rakyat.

Sokongan yang bersesuaian dalam bentuk latihan, pendigitalan, akses pasaran dan pembiayaan bertanggungjawab boleh membantu perniagaan meningkatkan produktiviti serta menawarkan pekerjaan yang lebih baik.

Penilaian dasar juga perlu dilakukan secara berkala dengan melihat perubahan sebenar kehidupan rakyat. Data pendapatan, perbelanjaan isi rumah, kemampuan membeli rumah dan tahap simpanan boleh membantu menentukan sama ada sesuatu program benar-benar mencapai matlamatnya.

Belanjawan 2027 menawarkan pelbagai langkah untuk menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan dan menyokong kesejahteraan masyarakat. Namun, kesan sebenar terhadap kuasa beli B40 dan M40 hanya dapat dinilai apabila dasar tersebut dilaksanakan dan manfaatnya dapat diukur.

Persoalan utama bukan sekadar berapa banyak wang yang diperuntukkan, tetapi sama ada rakyat mempunyai pendapatan yang mencukupi, kos kehidupan yang lebih terkawal dan peluang yang lebih luas untuk membina masa depan ke arah lebih baik dan sejahtera.

Belanjawan yang benar-benar berjaya ialah belanjawan yang bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memastikan hasil pembangunan dapat dirasai oleh semua rakyat secara adil dan berterusan. – UTUSAN

MEJAR Profesor Madya Dr. Mohd. Adib Abd. Muin ialah pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini