KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi menegaskan penggal pemerintahannya akan berakhir pada 2030, sambil menyifatkan perkara itu sebagai muktamad dan tidak akan dibincangkan lagi.
Sisi, 71, berkata demikian ketika menghadiri majlis graduasi di Akademi Tentera Mesir pada Sabtu, selain menegaskan bahawa Perlembagaan negara itu tidak akan dipinda.
“Penggal presiden saya akan berakhir pada 2030. Perkara ini sudah dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau kini menjalani penggal enam tahun sebagai presiden. Sisi turut menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Mesir sehingga negara itu mempunyai rakyat yang berkeupayaan memikul tanggungjawab.
“Saya tidak akan meninggalkan negara Mesir sehingga negara ini dipenuhi rakyatnya sendiri yang mampu memikul tanggungjawab,” katanya.
Presiden itu turut berkata bahawa akademi tentera berkenaan sedang melahirkan generasi baharu pemimpin.
Sisi mengambil alih kuasa pada 2013 selepas mengetuai rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi.
Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih 60,000 tahanan politik ditahan di penjara Mesir, termasuk lebih 1,000 wanita.
Menurut kumpulan berkenaan, ramai tahanan, termasuk bekas Presiden Morsi dan beberapa tokoh pembangkang, meninggal dunia akibat pengabaian rawatan perubatan serta keadaan penjara yang tidak berperikemanusiaan.
Kenyataan terbaharu el-Sisi itu dibuat ketika rantau berkenaan berdepan pergolakan.- AGENSI











