VILNIUS: Lithuania mengarahkan penduduk di kawasan tengah dan utara negara itu berlindung selama kira-kira sejam pada pagi Ahad, susulan pengesanan objek terbang yang tidak dikenal pasti.
Tentera Lithuania dan Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan memaklumkan arahan itu dikeluarkan ketika amaran udara merah berkuat kuasa.
Jet pejuang rondaan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut dikerahkan ke kawasan terbabit, manakala Lapangan Terbang Kaunas ditutup, menurut pusat berkenaan.
Negara jiran Lithuania, Latvia, turut mengeluarkan amaran udara kuning di beberapa wilayah yang bersempadan dengan negara itu sebelum menarik balik amaran berkenaan dalam tempoh sama.
Tentera Latvia berkata, amaran itu dikeluarkan susulan kemungkinan ancaman.
Dalam perkembangan berkaitan, dron Ukraine berulang kali memasuki ruang udara NATO di rantau Baltik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kyiv berkata, dron berkenaan tersasar daripada laluan asal akibat gangguan isyarat oleh Russia.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan perang Russia di Ukraine berisiko merebak ke wilayah negara anggota NATO.- AGENSI











