PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kagum terhadap persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung, malam tadi.
Anwar menyifatkan konsert tersebut sebagai satu naskhah seni cukup indah dalam usaha mengangkat kekayaan warisan seni budaya Nusantara di mata masyarakat.
Anwar yang turut hadir menyaksikan konsert berkenaan walau dalam hujan memuji dedikasi Siti Nurhaliza serta seluruh pasukan produksi yang berjaya menterjemahkan sebuah persembahan yang bukan sahaja istimewa, malah sarat dengan jiwa.
“Seronok malam tadi dapat menikmati persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
“Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa,” katanya menerusi Threads pada Ahad.
Mengulas mengenai suasana di lokasi konsert, beliau turut memberikan pujian kepada ribuan peminat setia penyanyi nombor satu negara itu yang tetap teguh memberikan sokongan walaupunn keadaan hujan.
Kongsinya, kesetiaan penonton yang sanggup bertahan sehingga ke penghujung persembahan walaupun dalam keadaan hujan membuktikan betapa besarnya pengaruh dan kehebatan kualiti seni yang ditampilkan.
“Walaupun hujan turun, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan.
“Hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya,” tulisnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa seni dan budaya merupakan elemen yang sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia, justeru menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan warisan ini tidak ditelan zaman.
Beliau berharap keindahan seni tradisional seperti yang dipamerkan dalam konsert tersebut terus dihidupkan agar dapat diwarisi, dinikmati serta dicintai oleh generasi muda akan datang.
“Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.
“Negara terus kita pacu maju, namun akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya. -UTUSAN











