PETALING JAYA: “Jika Allah tidak memberikan apa yang kita inginkan, Dia akan memberikan sesuatu yang lebih baik.”
Demikian luahan jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar selepas bangkit menewaskan Diego Paez dalam pertarungan kategori flyweight pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo menang menerusi keputusan sebulat suara juri dalam aksi ONE Championship itu, sekali gus membalas kekalahan kepada petarung Colombia-Amerika Syarikat berkenaan pada Jun tahun lalu.
Kemenangan itu hadir selepas Jojo berdepan kecaman susulan kekalahan terdahulu, termasuk daripada penyokong senegara yang disifatkannya terlalu cepat menghukum ketika dia sedang bergelut dengan kekecewaan.
“Selepas pertarungan pertama saya dengan Paez, saya menerima begitu banyak kecaman. Orang ramai begitu cepat menjatuhkan saya ketika saya sedang terluka dan perkara paling menyedihkan ialah kebanyakan kecaman itu datang daripada orang kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Jojo berkata, kepercayaannya kepada Allah menjadi sumber kekuatan untuk bangkit, selain menghargai sokongan peminat dan pasukan yang terus berdiri di belakangnya ketika melalui detik sukar.
“Allah lah yang sentiasa mempercayai saya. Saya juga berterima kasih kepada peminat yang terus menyokong saya dalam apa jua keadaan serta pasukan yang sentiasa bersama saya.
“Jasa dan sokongan anda semua amat saya hargai, jadi teruslah mempercayai proses yang sedang dilalui,” katanya.
Kejayaan itu juga menjadi suntikan semangat buat Jojo selepas dia tewas dalam dua pertarungan berturut-turut kepada Shimon Yoshinari dan Ramadan Ondash tahun ini.
Kemenangan ke atas Paez merupakan kemenangan kedua Jojo tahun ini selepas menewaskan wakil Myanmar, Ye Yint Naung, pada Februari lalu.
Sejak membuat penampilan dalam ONE Championship pada 2023, petarung negara itu kini merekodkan sembilan kemenangan dan lima kekalahan.-UTUSAN











