KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan memberi tumpuan kepada usaha membina laluan terbaik buat pemain negara untuk mencipta kejayaan, terutama pada penampilan sulung skuasy di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Presidennya yang baharu, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata, keutamaan beliau selaku peneraju SRAM adalah meneruskan kecemerlangan yang dicapai kepemimpinan terdahulu, selain memastikan persiapan atlet ke pentas Olimpik berjalan lancar.
“Skuasy sudah menjadi antara sukan paling berjaya di Malaysia berdasarkan pencapaian dan koleksi pingat yang diraih selama ini.
“Jadi, saya tidak bercadang melakukan perubahan besar, sebaliknya mahu memperkukuh usaha sedia ada dengan memberi perhatian khusus kepada persiapan menghadapi temasya di Los Angeles,” katanya yang menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM di sini, semalam.
Menurutnya, perkara paling penting sekarang adalah perjalanan menuju ke Los Angeles kerana skuasy buat kali pertama akan menjadi sukan Olimpik.
“Kita mempunyai peluang untuk memenangi pingat dan saya mahu semua pihak memberi tumpuan kepada matlamat itu. Tekanan itu mungkin ada, tetapi saya fikir tekanan lebih dirasai pemain berbanding saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Tunku Zain, 44, menegaskan, pembangunan akar umbi dan kerjasama dengan persatuan skuasy negeri perlu diperkukuh bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan bakat yang berterusan.
Jelas beliau, tanpa sistem pembangunan yang kukuh, kesinambungan kecemerlangan sukan negara boleh terjejas walaupun pernah melahirkan atlet bertaraf dunia.
“Kita perlu membina asas yang luas supaya lebih ramai kanak-kanak menyertai skuasy dan kita sentiasa mempunyai barisan pelapis. Justeru, kerjasama dengan persatuan di peringkat negeri amat penting,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada ratu skuasy negara, Sivasangari Subramaniam, yang kini berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain No. 4 dunia
“Sivasangari masih muda dan saya fikir dia masih boleh mencapai kemuncak prestasi dalam tempoh dua tahun lagi, malah berpotensi menjadi lebih baik,” kata putera kedua kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir itu.-UTUSAN











