JOHOR BAHRU: Siasatan berhubung dakwaan khalwat melibatkan bekas menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad diyakini tidak akan menjejaskan kempen Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pemimpin Bersama, Lee Chean Chung berkata, pihaknya yakin perkara itu tidak mengganggu fokus parti kerana terdapat banyak isu dan perkara lain yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.
Sehubungan itu, beliau yakin penyokong parti dan pengundi di Melaka dapat membuat penilaian terbaik berhubung perkara berkenaan.
“Nik Nazmi sudah keluarkan kenyataan berhubung perkara ini. Tetapi saya rasa perkara ini tidak akan menjejaskan kempen Bersama di Melaka. Ini kerana banyak lagi isu-isu lain yang juga berlaku dan perlu kita tangani.
“Semua ahli parti termasuklah kepimpinan sedang fokus untuk meyakinkan rakyat di pelbagai peringkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ruang Bersama Johor Bahru yang juga Pusat Khidmat Rakyat Bersama Johor Bahru, di sini hari ini.
Sementara itu, Chean Chung yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu turut berkata, pihaknya enggan mendahului siasatan dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes ini.
“Buat masa ini, saya tidak mahu ‘pre-judge’ atau nyatakan apa-apa pendirian. Sebaliknya saya mahu beri tumpuan kepada gerak kerja parti di negeri ini, dan juga di Melaka. Malam ini saya juga ada program di Melaka,” katanya.
Terdahulu, Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan berkata nasib Nik Nazmi dalam Bersama akan ditentukan menerusi proses dalaman parti.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincang bersama kepimpinan Bersama yang lain, termasuk Presiden Bersama, Syukri Razab.
Pagi tadi, Nik Nazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa mengesahkan beliau adalah individu yang ditangkap JAIS dalam kes khalwat dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah rumah di Petaling Jaya, kelmarin.-UTUSAN











