LOS ANGELES: Kebakaran hutan yang merebak pantas akibat angin kencang memusnahkan kediaman bernilai jutaan dolar di selatan Los Angeles kelmarin, memaksa penduduk di kawasan terjejas berpindah.
Kebakaran yang dikenali sebagai Norte itu memusnahkan kira-kira 188 hektar kawasan di San Juan Capistrano, lokasi kediaman mewah di Orange County, dengan sekurang-kurangnya empat rumah dilaporkan terjejas.
Pihak berkuasa bomba dalam kenyataan di platform X memaklumkan, api merebak dengan pantas berikutan tiupan angin kencang Santa Ana, kelembapan rendah dan suhu tinggi yang tidak menentu.
Anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran dari darat dan udara, termasuk menggunakan beberapa helikopter bagi mengawal api.
Kebakaran yang merebak pantas itu mencetuskan arahan pemindahan secara meluas, manakala penduduk di kawasan berhampiran turut diberi amaran mengenai risiko kemerosotan kualiti udara.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat memberi amaran mengenai risiko tinggi kebakaran besar, khususnya di daerah Los Angeles dan Ventura serta kawasan pegunungan dan kaki bukit di daerah San Luis Obispo dan Santa Barbara.
Anggota bomba turut bertungkus-lumus memadamkan kebakaran Bryson yang tercetus pada malam sebelumnya di pinggir Malibu, kawasan pantai terkenal di California.
Sehingga petang Jumaat, kebakaran itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 59.5 hektar dan hanya 17 peratus berjaya dikawal, menurut agensi Cal Fire.
Sementara itu, puluhan ribu pengguna di daerah Los Angeles berdepan gangguan elektrik selepas pihak berkuasa memutuskan bekalan melalui talian kuasa bagi mengurangkan risiko percikan elektrik akibat tiupan angin kencang yang boleh mencetuskan kebakaran.
Tiupan angin kencang dijangka mencapai kemuncaknya di daerah Los Angeles pada Jumaat, namun suhu tinggi dan kelembapan rendah menyebabkan risiko kebakaran kekal tinggi hingga hujung minggu.- AFP











