LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Andoni Iraola mengingatkan Bradley Barcola supaya bersedia menghadapi tekanan dan kritikan yang hadir bersama tanda harga tinggi di Anfield.
Iraola berkata, Barcola perlu memahami bahawa pemain bola sepak sering berdepan perubahan persepsi penyokong berdasarkan prestasi semasa, terutama apabila menyarung jersi kelab besar seperti Liverpool.
Pada Rabu lalu, penyerang Perancis itu akhirnya membuka akaun jaringan bersama The Reds menerusi hatrik dalam saingan Liga Juara-Juara, sekali gus menemui semula penyudah berbisanya.
Barcola sebelum ini bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik sejak menyertai Liverpool dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 123 juta pound (RM690 juta).
“Bola sepak memang begini. Apabila anda menang, anda dianggap luar biasa. Apabila beraksi buruk, anda pula dianggap gagal. Perkara ini akan berlaku kepada Barcola dan semua orang yang terbabit dalam bola sepak.
“Kita perlu menerima hakikat itu dan suasana di Anfield juga berbeza, setiap pemain merasakannya,” kata Iraola pada sidang media menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford, hari ini.
Menurut Iraola, proses penyesuaian Barcola dengan liga baharu dan rakan sepasukan turut terjejas akibat masalah kecederaan yang memaksanya melakukan perubahan dalam kesebelasan utama.
Cody Gakpo, Alexander Isak dan Dominik Szoboszlai masing-masing terlepas dua perlawanan terakhir akibat kecederaan ketika menyertai tugasan antarabangsa dan ketiga-tiganya diragui untuk aksi menentang Brentford.
Dalam perkembangan lain, Iraola mengesahkan kepulangan pertahanan tengah, Giovanni Leoni selepas kecederaan lutut serius masih tertangguh.
Pemain Itali itu mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika membuat penampilan sulung bersama Liverpool pada September tahun lalu. – AGENSI











