WASHINGTON: Pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang menjalankan siasatan berhubung siri penghantaran surat didakwa mengandungi bahan mencurigakan kepada pejabat Kongres dan pejabat pilihan raya negeri.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Pemeriksaan Pos AS (USPIS) menyatakan mereka sedang berusaha mengesan dalang di sebalik penghantaran surat mencurigakan itu di mana sebahagian daripadanya berjaya dipintas sebelum sampai ke destinasi.
Pihak berkuasa bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pejabat yang menjadi sasaran namun beberapa Setiausaha Negeri dan pejabat Kongres mengesahkan menerima surat berkenaan.
Insiden yang berlaku hanya beberapa minggu menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS itu membangkitkan semula kebimbangan keselamatan berhubung ancaman mencurigakan sebelum ini.
Surat itu dihantar ke sekurang-kurangnya lima pejabat senator daripada Parti Demokrat, dengan sebahagian besarnya berjaya dipintas sebelum diserahkan.
Pejabat bagi Senator Alex Padilla (California), Chris Murphy (Connecticut), dan Kirsten Gillibrand (New York) mengesahkan perkara itu kepada BBC. Menurut CBS News, Senator Chuck Schumer (New York) dan Senator Lisa Blunt Rochester (Delaware) turut menjadi sasaran penghantaran mel berkenaan.
“Insiden ini merupakan peringatan jelas mengenai bahaya sebenar yang dihadapi oleh mereka yang berkhidmat untuk masyarakat serta mengendalikan pilihan raya kita di tengah-tengah retorik politik yang semakin agresif,” kata Padilla dalam satu kenyataan.
Beberapa pejabat peringkat negeri turut dilaporkan menerima surat mencurigakan tersebut. Jabatan Pilihan Raya Delaware memaklumkan pejabatnya menerima dan membuka secebis surat mengandungi serbuk putih pada Khamis, sambil menambah kakitangan mematuhi protokol keselamatan ketika mengendalikan surat itu.
Lembaga Pilihan Raya Negeri Oklahoma dan Setiausaha Negeri Louisiana turut mengesahkan pejabat masing-masing menerima surat mengandungi serbuk putih pada minggu ini.
Pejabat di Louisiana terpaksa dipindahkan selepas seorang kakitangan membuka surat berkenaan pada Selasa, namun ia sudah beroperasi semula selepas pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang bahan berbahaya ditemui.
Sementara itu, Setiausaha Negeri Ohio, Frank LaRose memaklumkan pejabatnya merupakan sasaran penerima surat berisi serbuk putih berkenaan, namun dipintas oleh USPIS.
Bangunan Kapitol Negeri New York di Albany dan Kapitol Negeri Wyoming di Cheyenne turut dilaporkan menerima bungkusan mencurigakan, mengikut maklumat imbasan perkhidmatan kecemasan yang diteliti BBC.
“FBI dan USPIS akan terus melindungi orang ramai serta memastikan keselamatan proses pilihan raya bagi seluruh warga AS,” menurut kenyataan bersama kedua-dua agensi berkenaan pada Khamis.











