Kartel bawang Filipina didenda RM114 juta

Kartel bawang Filipina didenda RM114 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Enam syarikat di Filipina dikenakan denda berjumlah 1.76 bilion peso (RM114 juta) kerana membentuk kartel bawang yang menyebabkan harga bahan makanan itu melonjak mendadak pada 2022.

Harga bawang ketika itu mencecah paras rekod 800 peso sekilogram, mengatasi kadar gaji minimum harian negara itu serta harga daging.

Kenaikan harga berkenaan mencetuskan krisis bekalan dan memberi tekanan kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr yang baru memegang jawatan ketika itu, selepas berjanji untuk menurunkan harga makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) pada Rabu memaklumkan denda terhadap enam syarikat itu merupakan yang terbesar sejak penubuhannya pada 2016.

Syarikat terbabit terdiri daripada pengimport bawang serta firma yang terlibat dalam perkhidmatan penyimpanan dan penghantaran.

Antara penghujung 2022 hingga awal 2023, bawang semakin sukar diperoleh sehingga beberapa restoran menggugurkannya daripada menu, manakala sayuran itu turut menjadi sasaran kegiatan penyeludupan.

Pihak berkuasa meluluskan pengimportan bawang secara kecemasan, manakala Marcos berikrar memburu pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kekurangan bekalan itu.

“Rakyat Filipina mengalami kebuluran dan kemiskinan akibat tindakan mereka,” katanya.

Krisis itu berakhir apabila hasil tuaian tempatan yang melimpah memasuki pasaran pada penghujung 2023, sekali gus menstabilkan harga.

Jawatankuasa parlimen yang ditugaskan menyiasat krisis harga itu merumuskan \kartel menjadi dalang kepada kenaikan harga bawang secara ‘buatan’.

PCC berkata, bukti yang diperoleh menerusi serbuan ke atas syarikat terbabit menunjukkan enam firma itu secara kolektif menguasai hampir 50 peratus daripada keseluruhan kelulusan permit import bawang pada 2020 dan 2021.

Suruhanjaya itu berkata, syarikat berkenaan terbabit dalam ‘skim pembahagian pasaran haram bagi aktiviti pengimportan, penyimpanan sejuk dan pengedaran borong’ bawang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini