KUALA TERENGGANU : Solidariti terhadap Palestin tidak seharusnya terhenti pada slogan, persidangan atau kenyataan media semata-mata sebaliknya perlu diterjemah kepada dasar, peruntukan dan tindakan nyata bagi membantu rakyat negara itu mendapatkan keadilan serta membina semula kehidupan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha membantu Palestin perlu dilaksanakan secara tersusun dan berterusan merangkumi bantuan kemanusiaan, pemulihan infrastruktur, pendidikan serta pembangunan semula kehidupan rakyatnya.
Beliau berkata, isu Palestin bukan sekadar konflik wilayah sebaliknya berkait rapat dengan hak rakyat negara itu menentukan masa depan sendiri, kebebasan daripada penjajahan serta hak untuk hidup aman dan bermaruah di tanah air mereka.
Menurutnya, penderitaan rakyat Palestin yang berterusan sejak peristiwa Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 menjadi ujian besar terhadap nurani kemanusiaan dan kesungguhan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan keadilan.
“Persoalannya, mengapakah dunia Islam yang memiliki kekayaan sumber, kedudukan geografi strategik, warisan peradaban besar dan jumlah penduduk yang ramai masih belum dapat menggembleng kekuatan tersebut secara optimum untuk menangani isu bersama?
“Kita mempunyai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pelbagai platform kerjasama antara negara, namun cabaran sebenar bukan sekadar mewujudkan institusi, sebaliknya memastikan institusi berkenaan menghasilkan keputusan yang jelas, tindakan konsisten dan kesan yang dapat dirasai umat,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Terengganu bertemakan Sambutan Tiga Tahun Taufan Al-Aqsa di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Muhammad Khalil berkata, isu Palestin perlu diangkat daripada sekadar pernyataan simpati kepada agenda strategik bersama dunia Islam melalui lima pendekatan utama, iaitu kesatuan diplomatik, kekuatan ekonomi, penguasaan media dan naratif, pendidikan serta bantuan kemanusiaan.
Katanya, negara-negara Islam perlu memperkukuh pendirian bersama dalam menuntut perlindungan orang awam, akses bantuan kemanusiaan dan penyelesaian yang adil berdasarkan hak rakyat Palestin.
“Dalam aspek ekonomi, kerjasama perdagangan, dana kemanusiaan, bantuan pembangunan dan penggunaan instrumen ekonomi yang sah serta berkesan perlu digerakkan bagi memastikan sokongan terhadap Palestin memberikan impak lebih besar,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan membina jaringan media, penyelidikan, dokumentasi dan komunikasi strategik bagi menyampaikan fakta mengenai Palestin serta menangani penyebaran maklumat palsu.
“Semua usaha ini perlu dilaksanakan secara tersusun, berterusan dan mempunyai sasaran yang jelas. Solidariti tidak boleh berhenti pada slogan, persidangan atau kenyataan media semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan menjadi dasar, peruntukan, jaringan kerjasama dan tindakan yang nyata,” katanya. – UTUSAN











