Inkues Zara Qairina: Keputusan 15 Januari tahun depan

Inkues Zara Qairina: Keputusan 15 Januari tahun depan

ZARA Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijadualkan pada 15 Januari tahun depan selepas prosiding berkenaan berakhir pada Rabu lepas sekali gus menutup 96 hari pendengaran dengan 83 saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan.

Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, pihaknya menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh akhir bagi semua pihak memfailkan hujah bertulis masing-masing sebelum keputusan disampaikan.

Menurutnya, nota prosiding yang melebihi 5,200 muka surat memerlukan penelitian rapi termasuk menilai hujah dikemukakan serta menganalisis keseluruhan keterangan sebelum mahkamah membuat dapatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam arahan kepada semua pihak, beliau meminta percanggahan dalam keterangan saksi diteliti dan dihuraikan khususnya membabitkan saksi kanak-kanak yang jumlahnya agak ramai dalam prosiding berkenaan.

Di samping itu, beliau turut meminta pihak terbabit menilai dua lawatan ke tempat kejadian yang dijalankan sepanjang inkues bagi membantu mahkamah memahami fakta kes.

Selain menumpukan kepada persoalan berkaitan kematian Zara, Amir menggalakkan semua pihak mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap pengurusan sekolah dan asrama, prosedur siasatan serta pengendalian inkues.

Menurutnya, antara perkara yang boleh dipertimbangkan adalah pelantikan warden asrama berpengalaman bagi memperkukuh pengurusan dan keselamatan pelajar di asrama.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan mempercepatkan penguatkuasaan Akta Koroner sambil menjelaskan bahawa prosiding inkues ketika ini dijalankan mengikut peruntukan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, semua pihak boleh membangkitkan perkara itu dalam hujah bertulis, termasuk keperluan mewujudkan kerangka kerja lebih menyeluruh bagi mengawal selia prosiding inkues dan tugas koroner.

Beliau berkata, cadangan berkenaan boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam keputusan mahkamah.

Amir turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama sepanjang prosiding, sambil mengakui tempoh pendengaran yang panjang berikutan jumlah saksi yang ramai khususnya kanak-kanak.

Beliau menegaskan, dapatan mahkamah perlu berlandaskan keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding bukannya spekulasi atau pandangan dari luar mahkamah.

“Kita tidak mahu ada sebarang soalan yang dibiarkan tidak terjawab. Diharapkan kita dapat menjawab soalan-soalan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya sesuatu persoalan tidak dapat dipastikan jawapannya mahkamah tetap terikat dengan keterangan yang dikemukakan.

Keputusan inkues itu akan disampaikan dalam bahasa Melayu, manakala hujah bertulis boleh dikemukakan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau gabungan kedua-duanya.

Zara Qairina dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini pada keesokan harinya.

Susulan itu, inkues berkenaan bermula pada 3 September 2025 bagi menyiasat keadaan yang membawa kepada kematian Allahyarham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini