Pemilik EV dilarang cas kereta di luar rumah - Utusan Malaysia

Pemilik EV dilarang cas kereta di luar rumah

GAMBAR fail sebuah kereta elektrik dicas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jutaan penduduk di United Kingdom (UK) yang tinggal di kawasan pemuliharaan yang kaya dengan warisan sejarah mungkin tidak boleh merentangkan kabel pengecas kenderaan elektrik (EV) merentasi laluan pejalan kaki di luar rumah mereka.

Langkah berkenaan akan dikuatkuasakan susulan tindakan mengejut kerajaan UK yang mengenakan pengecualian saat-saat akhir terhadap kawasan berkenaan menerusi penguatkuasaan undang-undang baharu pada 21 Oktober ini.

Pada asalnya, penggubalan undang-undang tersebut bertujuan untuk membenarkan mana-mana penduduk yang tidak mempunyai kawasan parkir persendirian menyalurkan kabel pengecas dari rumah ke kenderaan di laluan pejalan kaki awam tanpa perlu memohon kebenaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemudahan tersebut sebelum ini dipromosikan oleh kerajaan sebagai galakan utama buat golongan keluarga yang tidak mempunyai ruang parkir khas bagi mengelakkan mereka terpaksa bergantung kepada stesen pengecas awam.

Bagaimanapun, menerusi pindaan yang diumumkan pada 25 September lalu, kerajaan secara mengejut mengecualikan kira-kira 10,000 kawasan pemuliharaan warisan daripada kemudahan pengecualian permit berkenaan.

Ketetapan tersebut memberi kesan secara langsung kepada sebahagian daripada 6.8 juta penduduk di kawasan terbabit, dengan dianggarkan sekitar 3.4 juta daripadanya tidak mempunyai kawasan parkir persendirian.

Berdasarkan kadar semasa di mana 6.2 peratus daripada keseluruhan kenderaan di UK merupakan EV, kira-kira 100,000 pemilik kenderaan itu di kawasan pemuliharaan dijangka terjejas serta-merta daripada mengecas di rumah tanpa kebenaran merancang khas.

Keputusan baharu itu mencetuskan kebimbangan bahawa ia bakal menjejaskan minat pengguna dan merencatkan usaha peralihan nasional kepada EV.

Seorang pemilik hartanah di kawasan pemuliharaan menyifatkan langkah mendadak tersebut sebagai satu kejutan besar.

“Rangka undang-undang akhir ini mengecualikan kawasan pemuliharaan secara tiba-tiba, sedangkan perkara ini tidak pernah dibangkitkan semasa siri rundingan awal.

“Ia melibatkan hampir 10 peratus daripada keseluruhan hartanah di negara ini memandangkan kita mempunyai 10,000 kawasan pemuliharaan,” katanya kepada akhbar The Times.

Sebagai rekod, kos pengecasan EV di kediaman adalah jauh lebih jimat iaitu sekitar 7 pence (RM0.38) bagi setiap 1.6 kilometer, berbanding purata 15 pence (RM0.82) bagi setiap 1.6km jika menggunakan perkhidmatan stesen pengecas awam sekali gus berpotensi menggandakan kos pemanduan pemilik. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini