MASA depan makanan negara tidak lagi ditentukan oleh keluasan tanah, jenis aktiviti pertanian atau jumlah hasil semata-mata. Keupayaan menghasilkan makanan secara cekap, selamat, berkhasiat dan mampan kini bergantung pada penguasaan ilmu, penggunaan teknologi serta keberanian menghubungkan inovasi penyelidikan dengan realiti industri.
Perubahan iklim, peningkatan kos input, kekurangan tenaga kerja, ancaman penyakit tanaman dan haiwan serta ketidaktentuan rantaian bekalan telah mengubah rentak industri pertanian masa kini. Penyelesaian kepada cabaran ini tidak boleh digerakkan secara berasingan. Ia memerlukan kerjasama penyelidik, pemain industri, pembuat dasar, pelabur dan komuniti tani yang memahami keperluan sebenar sektor agromakanan.
Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai akar yang kukuh dalam bidang pertanian. Namun, kedudukan sebagai universiti peneraju pertanian dan keterjaminan makanan bukan sekadar bersandarkan pengalaman. Ia perlu diterjemahkan melalui penyelesaian yang boleh digunakan, diperluas dan memberi kesan kepada pengeluaran makanan serta kesejahteraan masyarakat.
Di UPM, agenda pertanian dan keterjaminan makanan tidak terletak pada satu bidang sahaja. Kepakarannya merangkumi sains tanaman, penghasilan benih berkualiti, tanah, teknologi dan jentera pertanian, sains haiwan, veterinar, akuakultur, bioteknologi, sains makanan, pensijilan halal, agribisnes serta dasar agromakanan.
Gabungan tersebut membolehkan sesuatu isu diteliti secara menyeluruh, bermula daripada pengeluaran di ladang sehingga pemprosesan, keselamatan makanan, pemasaran dan pengguna.
Blueprint Keterjaminan Makanan UPM pula menjadi panduan untuk menyelaras kepakaran, penyelidikan, pembangunan bakat dan jaringan strategik universiti. Pendekatan ini penting kerana keterjaminan makanan bukan sekadar usaha meningkatkan hasil. Ia turut melibatkan kemampuan sistem makanan menghadapi krisis, menggunakan sumber secara berhemah dan menyediakan makanan yang selamat serta mampu diperoleh masyarakat.
Teknologi seperti kecerdasan buatan, dron, sensor, automasi dan analisis data membuka peluang kepada pertanian yang lebih tepat.
Penyelidikan berkaitan tanaman tahan cuaca, kesihatan haiwan, akuakultur, pemprosesan makanan dan penggunaan semula sisa pula berpotensi mengurangkan kebergantungan, pembaziran serta risiko pengeluaran.
Namun, teknologi hanya akan memberi makna apabila dapat berfungsi dalam keadaan sebenar dan memberikan nilai kepada penggunanya.
Pada tahap inilah industri memainkan peranan penting, bukan hanya sebagai sumber pembiayaan tetapi sebagai rakan yang memahami skala pengeluaran, kos, pasaran dan penerimaan pengguna dalam memudahkan industri atau petani meningkatkan kecekapan penghasilan produk tanaman makanan serta membantu mereka membuat keputusan bijak.
Maklum balas industri boleh membantu penyelidik menambah baik teknologi, mempercepat pengujian dan memastikan inovasi yang dibangunkan benar-benar menjawab masalah di lapangan. Kerjasama boleh dibentuk melalui penyelidikan bersama, pengujian teknologi, pembangunan produk, pelesenan inovasi, perkongsian data, latihan profesional dan pembangunan bakat.
Dimensi lain yang tidak kurang penting ialah pembangunan tenaga mahir. Sektor agromakanan memerlukan graduan yang bukan sahaja memahami sains, tetapi mampu mengendalikan teknologi, membaca data, mengurus perniagaan dan berkomunikasi secara berkesan dengan pelbagai pihak.
Pendedahan kepada masalah sebenar industri dapat membentuk tenaga kerja yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi perubahan dalam sektor ini.
Malaysia memerlukan sistem agromakanan yang bukan sahaja produktif tetapi mampu menyesuaikan diri dengan perubahan. UPM boleh menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan aplikasi serta penyelidikan dengan pasaran. Apabila kekuatan universiti dipertemukan dengan pengalaman industri, penyelesaian yang lahir berpotensi bergerak lebih jauh, dari makmal ke ladang dan akhirnya memberi manfaat berguna kepada pembangunan dan keterjaminan makanan negara. – UTUSAN
Penulis adalah Pengarah Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia











