PETALING JAYA: Sektor telekomunikasi Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua 2026, disokong peningkatan hasil perkhidmatan mudah alih, penjimatan kos operasi dan sumbangan borong yang lebih tinggi.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata, prestasi itu turut dijangka membolehkan syarikat telekomunikasi mengekalkan atau meningkatkan pembayaran dividen berikutan perbelanjaan modal yang kekal terkawal.
Menurutnya, pendapatan perkhidmatan mudah alih dijangka meningkat secara bermusim menerusi usaha pengewangan dan pelarasan harga terpilih, manakala Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka meraih peningkatan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) hasil sumbangan borong yang lebih tinggi.
“Dari aspek kawal selia, kami menjangka rundingan awam berhubung Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) bermula pada suku keempat 2026, dengan pelaksanaannya dijangka pada akhir suku pertama 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mengenai prospek dividen, RHB IB melihat ruang untuk TM memulangkan lebih banyak tunai kepada pemegang saham memandangkan kedudukan lembaran imbangannya yang kukuh, dengan nisbah hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dijangka berada pada paras 0.7 kali pada separuh kedua 2026.
TM sebelum ini meningkatkan nisbah pembayaran dividen (DPR) kepada minimum 75 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang dilaporkan, berbanding julat sebelumnya antara 40 hingga 60 peratus.
Sementara itu, pembayaran dividen Time dotCom Bhd (TDC) dijangka kembali ke paras normal susulan inisiatif pengoptimuman lembaran imbangan syarikat itu.
RHB IB berkata, TDC merancang meningkatkan nisbah hutang bersih kepada EBITDA kepada antara satu hingga 1.5 kali dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, berbanding 0.01 kali pada suku kedua 2026.
Bagi Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd (CDB), bank pelaburan itu menjangkakan kedua-duanya mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi panduan minimum antara 75 hingga 80 peratus daripada pendapatan teras.
Bagaimanapun, RHB IB mengekalkan penarafan ‘Neutral’ terhadap sektor telekomunikasi berikutan persaingan sengit dalam pasaran mudah alih dijangka berterusan meskipun pengendali rangkaian mudah alih mengamalkan disiplin harga yang lebih tinggi.
Menurutnya, kecekapan kos akan terus menjadi pemacu utama prestasi pendapatan sektor berkenaan, sekali gus membantu mengimbangi tekanan daripada caj akses 5G yang tinggi.
“Syarikat telekomunikasi talian tetap dan bersepadu, termasuk pemain yang berteraskan infrastruktur, dijangka terus mencatatkan peningkatan pendapatan paling kukuh hasil pemangkin struktur,” katanya. – UTUSAN











