Azalina cadang pembangkang tukar wakil Majlis Perkhidmatan Parlimen jika tak puas hati

Azalina cadang pembangkang tukar wakil Majlis Perkhidmatan Parlimen jika tak puas hati

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dicadang menukar wakil mereka dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen sekiranya tidak berpuas hati dengan proses membuat keputusan yang didakwa tidak adil kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui majlis berkenaan bagi membolehkan perkara itu dibincangkan.

“Saya cadang pada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, tukarlah wakil mereka dalam majlis itu kalau tidak berpuas hati, sebab kita kena berhubung dan bercakap melalui majlis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Azalina mengulas kebimbangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung keadilan dalam pelaksanaan urusan Parlimen termasuk pembahagian keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Azalina berkata, kerajaan telah melepaskan kuasa eksekutif dalam mengawal urusan Parlimen bagi membolehkan Dewan Rakyat menguruskan hal ehwalnya sendiri.

“Ini Parlimen anda. Selesailah isu yang dibawa oleh Arau kerana bimbang kemungkinan tidak berlakunya keadilan dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Terdahulu, Shahidan mempersoalkan komposisi keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang didakwa tidak mencerminkan pembahagian adil antara kerajaan dengan pembangkang.

Beliau memberikan contoh sebuah jawatankuasa yang mempunyai 10 anggota dengan pembangkang hanya diwakili tiga orang, selain mencadangkan pembahagian 50-50 bagi memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak.

Shahidan turut meminta supaya peruntukan berkaitan Parlimen dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi membolehkan institusi berkenaan menguruskan keperluannya secara lebih bebas.

Sementara itu, Hamzah bersetuju supaya urusan berkenaan dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut meminta supaya prinsip keadilan diterapkan dalam perkara lain yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, bukan hanya melibatkan isu berkenaan.

“Saya juga bersetuju dengan Yang Dipertua, biar mereka bermesyuarat dan akhirnya akan diputuskan kemudian nanti.

“Saya minta supaya kalau boleh, Yang Dipertua, apabila menyebut tentang keadilan itu, bukan hanya dalam perkara itu, malah perkara lain yang dibangkitkan dalam Dewan ini juga diberikan keadilan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini