Al-Quran benar-benar daripada Allah

Al-Quran benar-benar daripada Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebahagian pihak mendakwa kononya Nabi Muhammad SAW sebenarnya tidak pernah menerima wahyu daripada Allah sebaliknya ayat-ayat al-Quran hanyalah ciptaan dan rekaan Baginda.

Sebenarnya dakwaan ini telah lama dijawab oleh para ulama Islam dengan pelbagai jawapan tuntas.

Kali ini saya akan berkongsi dua jawapan iaitu keterlewatan wahyu dan kekuatan hafalan Rasulullah SAW terhadap ayat-ayat al-Quran.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Wahyu tergendala
Setelah peristiwa penurunan lima ayat surah al-Alaq di Gua Hira, wahyu terhenti seketika.

Menurut al-Syeikh Abdullah Abu Dzikri di dalam kitab Yawmiyyat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Musyarrofah; Rasulullah SAW menerima lima ayat tersebut pada Isnin, 21 Ramadan 13 tahun sebelum hijrah, lalu wahyu serta-merta tidak diturunkan ke atas Baginda.

Sehinggalah Allah menurunkan wahyu seterusnya, menerusi lima ayat surah al-Muddaththir pada Ahad 3 Zulkaedah 13 tahun sebelum hijrah.

Ini bermakna tempoh wahyu tergendala adalah sekitar sebulan.

Antara hikmah Allah mentakdirkannya adalah untuk menimbulkan rasa rindu yang mendalam pada jiwa Rasulullah SAW dan memberi ruang persediaan kepada Baginda untuk menerima tugas kerasulan yang seterusnya.

Dalam hadis ke-4 daripada Sahih al-Bukhari; Rasulullah SAW menceritakan detik-detik penurunan lima ayat surah al-Muddathir sewaktu Baginda berjalan sambil menunggu-nunggu kedatangan wahyu yang seterusnya.

Tiba-tiba Baginda mendengar satu suara dari langit dan melihat Malaikat Jibril AS duduk di atas satu kerusi yang terawang-awang.

Melihat keadaan Malaikat Jibril AS saat itu, Baginda sekali lagi berasa ketakutan lalu pulang ke rumah dan meminta diselimutkan.

Sejurus selepas itu, Allah SWT menurunkan wahyu awal surah al-Muddaththir (ayat 1-5):

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan (kepada manusia). Dan Tuhanmu, maka agungkanlah! Dan pakaianmu, maka bersihkanlah! Dan perbuatan keji (penyembahan berhala), maka tinggalkanlah!”

Penurunan ayat ini menjadi garis pemisah yang penting dalam kehidupan Rasulullah SAW.

Jika di Gua Hira (surah al-Alaq), Baginda dizahirkan sebagai Nabi kerana menerima wahyu, maka menerusi penurunan surah al-Muddaththir ini Baginda diangkat secara rasmi menjadi Rasul dan diperintahkan untuk bangun memberi peringatan serta menyampaikan risalah Ilahi kepada manusia.

Ketergendalaan wahyu sebenarnya antara bukti sangat kukuh Nabi Muhammad SAW benar-benar seorang rasul dan bukannya pendusta.

Ini kerana jika seseorang menipu, pasti setelah dia membacakan petikan wahyu pertama, dia akan terus mendatangkan pula ayat-ayat baharu kononnya ia adalah wahyu seterusnya yang diturunkan oleh Allah kepadanya.

Kalau berlaku senggang masa yang lama antara dua penurunan wahyu, ini boleh menimbulkan keraguan di hati orang ramai sekali gus menyebabkan penipuannya terserlah.

Namun, apabila Rasulullah SAW menunggu kedatangan wahyu sekitar sebulan lamanya setelah Allah menurunkan surah al-Alaq, ini adalah bukti sangat kukuh wahyu bukanlah ciptaan Baginda sebaliknya benar-benar datang daripada Allah SWT.

 

Mukjizat hafalan wahyu serta-merta
Bukti mukjizat paling nyata mengenai pemeliharaan al-Quran sekali gus menjadi hujah yang kukuh al-Quran benar-benar daripada Allah adalah menerusi peristiwa penurunan wahyu sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis ke-5 Sahih al-Bukhari.

Mengikut fitrah dan sifat manusia, proses menguasai atau menghafal sesuatu teks yang panjang memerlukan usaha pengulangan (muraja’ah) berpuluh-puluh kali.

Malah, walaupun seseorang itu menghafal sesuatu teks, potensi untuk lupa, tersilap atau keliru tetap wujud kerana keterbatasan akal dan ingatan manusia.

Pada peringkat awal penerimaan wahyu di Mekah, Rasulullah SAW agak tergesa-gesa menggerakkan bibir dan lidah Baginda kerana terlalu bimbing dan risau terlupa ayat yang dibacakan oleh Malaikat Jibril AS.

Keadaan ini menunjukkan sifat kemanusiaan Baginda yang sangat prihatin terhadap kesucian al-Quran.

Namun Allah ingin mengajar kita yang menjaga al-Quran bukanlah Baginda sebaliknya adalah Allah sendiri.

Oleh itu, Allah SWT menurunkan firman-Nya menerusi surah al-Qiyamah (ayat 16-19):

“Janganlah engkau (wahai Nabi Muhammad) menggerakkan lidahmu kerana hendak bersegera membaca al-Quran. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkan al-Quran itu (di dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya. Oleh itu, apabila Kami telah membacakannya, maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penerangannya.”

Poin paling utama di sini ialah perubahan tatacara penerimaan wahyu secara serta-merta.

Selepas penurunan ayat ini, Rasulullah SAW tidak lagi menggerakkan bibir atau mengulang-ulang bacaan sewaktu wahyu diturunkan.

Baginda hanya diam, tenang dan mendengar dengan penuh tumpuan.

Sebaik sahaja Malaikat Jibril AS selesai membacakan wahyu dan beredar, Baginda secara automatik menghafal dan membaca semula keseluruhan ayat tersebut secara tepat tanpa ada satu patah pun yang tertinggal atau perlu diulang hafal.

Keupayaan menghafal serta-merta tanpa proses biasa ini adalah mukjizat khusus yang membuktikan al-Quran itu dipelihara secara terus oleh kuasa Allah SWT dan bukannya ciptaan akal fikiran Baginda.

Kalaulah al-Quran bukan daripada Allah sebaliknya hanyalah rekaan Nabi Muhammad SAW, pasti Baginda akan kelihatan mengulangi bacaan sebelum memanggil para sahabat untuk memperdengarkan ayat-ayat itu kepada mereka.

Namun, situasi ini tidak pernah berlaku kerana setelah selesai menerima wahyu, Baginda terus membacakannya kepada para sahabat.

Walau sehebat apapun kemampuan hafalan seseorang, pasti akan berlaku kesalahan dalam mengulangi hafalannya setelah berlalu masa yang panjang.

Oleh itu, sekiranya al-Quran adalah ciptaan Rasulullah SAW, pasti para sahabat yang menerima ayat-ayat daripada Baginda akan saling kehairanan kerana menerima ayat yang tidak sama dengan yang lain.

Tetapi, apabila para sahabat menerima al-Quran yang sama tanpa sebarang perbezaan antara mereka, ini menunjukkan al-Quran benar-benar daripada Allah dan bukannya rekaan Nabi Muhammad.

 

Kesimpulan
Meneliti keseluruhan lipatan sejarah penurunan wahyu daripada hadis ke-2 hingga ke-6 Sahih al-Bukhari, daripada beban fizikal wahyu, dahi berpeluh lebat sewaktu sejuk membeku, pelukan erat

Jibril di Gua Hira, kesaksian mutlak Waraqah bin Naufal, ketergendalaan wahyu dan mukjizat hafalan serta-merta bagi ayat-ayat al-Quran, ia memberikan kesimpulan mutlak dan tuntas iaitu Nabi Muhammad SAW adalah benar-benar utusan hakiki oleh Allah SWT untuk menyampaikan al-Quran bagi membawa rahmat dan kebenaran kepada seluruh alam.

-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini