KUALA LUMPUR-Sebanyak 70 peratus tiket konsert Wali Exclusive One Night Only yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November ini dilaporkan sudah terjual.
Sambutan itu menyusuli konsert Wali Live in JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu yang menghimpunkan kira-kira 14,000 penonton.
Konsert anjuran 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures itu dijadualkan bermula pada 8 malam dengan kapasiti terhad kepada 5,000 penonton.

Wali Band dijangka mempersembahkan lagu popular mereka termasuk Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat yang sinonim dengan kumpulan Indonesia itu.
Penyanyi Malaysia, Najwa Latif turut kembali sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai persembahan. Kemunculannya mencetuskan jangkaan peminat terhadap kemungkinan kolaborasi bersama Wali Band, selepas mereka berduet menerusi lagu Yank ketika konsert di Johor Bahru baru-baru ini.
Tiket ditawarkan pada harga antara RM182 hingga RM2,222 mengikut kategori, dan boleh dibeli menerusi platform MyTicket Asia. Konsert ini turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi.











