PETALING JAYA: Jabatan Penjara sedang menyiasat dakwaan gangguan bekalan air, masalah kemudahan kebersihan dan makanan dialami seorang tahanan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA) di Penjara Kajang, baru-baru ini.
Menurut jabatan itu, pihaknya sedang meneliti dakwaan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lawyers for Liberty (LFL) untuk mendapatkan gambaran sebenar dan memastikannya diberikan perhatian sewajarnya.
“Pada masa sama, langkah penambahbaikan segera akan diberikan keutamaan untuk menangani sebarang kekurangan dikenal pasti, khususnya berkaitan kemudahan asas, kebersihan dan kebajikan penghuni,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kesihatan, kebersihan dan keselamatan penghuni, termasuk penyediaan keperluan asas selaras dengan peraturan serta prosedur yang berkuat kuasa.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan berhubung perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam,” katanya.
Sebelum ini, LFL mendakwa Penjara Kajang yang menempatkan 5,000 banduan berdepan masalah kekurangan air serius sehingga menyukarkan tahanan mandi dan menggunakan tandas.
Dakwanya, aliran air terlalu perlahan sehingga banduan terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk memenuhi sebaldi air, malah ada yang tidak dapat menggunakan tandas sehingga dua hari.
LFL turut mendakwa setiap bilik hanya dibekalkan satu liter air minuman sehari, selain membangkitkan kebimbangan mengenai dulang makanan yang kotor dan tahap kebersihan makanan yang tidak memuaskan.
Sehubungan itu, LFL menggesa kerajaan dan pihak berkuasa penjara segera menangani masalah berkenaan serta memastikan banduan mendapat bekalan air bersih yang mencukupi dan kemudahan sanitasi yang sempurna. – UTUSAN









