KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elliza Razak mengakui tidak mudah menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal apabila terpaksa bekerja keras melakukan pelbagai pekerjaan demi membesarkan dua anaknya yang kini berusia 12 dan 10 tahun .
Menurut Elliza, dia kini hanya mahu memastikan segala keperluan asas dan komitmen bulanan dapat diselesaikan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.
“Kehidupan sebagai ibu tunggal sangat susah. Sehingga kini saya masih berusaha. Saya buat apa sahaja pekerjaan yang boleh menjana pendapatan termasuklah menjual produk wangian kerana fokus utama sekarang adalah untuk membesarkan anak-anak.
“Pada usia sekarang, saya sudah tidak mengejar kemewahan dunia. Saya cuma mahu menyelesaikan segala komitmen dan memastikan keperluan asas kami mencukupi.
“Kalau dapat menikmati kemewahan, alhamdulillah. Tetapi bagi saya, asalkan segala keperluan asas dapat dipenuhi, itu pun sudah cukup dan saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui pasa sidang media Nu Fest 2027, pada Isnin.
Dalam masa sama, bekas peserta program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) mengakui tanggungjawab tersebut turut memberikan tekanan emosi apabila dia sentiasa dibelenggu kebimbangan memikirkan komitmen kewangan yang perlu dilunaskan setiap bulan.
“Setiap kali membuka mata pada waktu pagi, jantung saya terus berdegup kencang memikirkan macam-macam perkara.
“Setiap hari saya hidup dalam keadaan risau dan takut. Saya fikir tentang sewa rumah, kereta dan segala komitmen lain. Kadang-kadang apabila telefon berbunyi pun saya jadi takut.
“Tapi, saya berserah kepada Allah. Saya selalu cakap tidak mengapa, Allah ada dengan saya. Alhamdulillah, Allah sentiasa cukupkan keperluan saya.
“Sentiasa cukup, walau ada kalanya kurang, tetapi saya ingatkan diri, tidak mengapa kerana minggu depan mungkin ada rezeki lain. Saya memang, 100 peratus berserah pada Allah, Allah saja yang ada sekarang ini,” jelasnya.
Mengakui dirinya juga tidak lagi mempunyai tempat bergantung apatah lagi perlu menguruskan segalanya seorang diri, Elliza turut mendedahkan dirinya sering dibelenggu ketakutan selepas terkait dengan isu pinjaman wang yang dibuat oleh bekas suaminya.
“Sekarang ini saya sudah tiada ibu bapa dan suami. Seorang abang saya juga sudah meninggal dunia, manakala kakak dan abang saya yang lain pun tidak berapa sihat dan sudah berumur.
“Jadi, hidup saya sekarang hanya saya dan anak-anak sahaja. Saya pernah dikejar oleh Ahlong. Bukan saya yang buat pinjaman itu tapi bekas suami saya. Saya mahu keluar rumah pun takut dan kadang-kadang apabila ada surat atau notis ditampal di hadapan rumah, saya terus rasa takut.
“Setiap kali hendak keluar rumah, saya akan periksa dahulu pagar untuk melihat sama ada ada sesuatu yang ditampal atau tidak. Saya jadi terlalu takut dan perasaan itu masih ada sampai sekarang,” kongsinya.
Tambah Elliza, situasi itu juga turut membuatkan dirinya bimbang akan keselamatan anak-anaknya yang kini di bawah penjagaannya sepenuhnya.
“Saya sangat risaukan anak-anak. Saya takut sangat. Apa-apa pun, saya serahkan semuanya kepada Allah. Saya cuma minta Allah tolong jaga kami bertiga,” katanya.
Untuk info, Elliza berkahwin pada 11 November 2011, namun disahkan bercerai pada Februari 2024.
Sebelum ini, Elliza pernah mendedahkan perkahwinannya membuatkan dia berdepan pelbagai tekanan emosi, termasuk menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan bekas suami. -UTUSAN











