JAKARTA: Polis Indonesia menamakan 223 individu dan sembilan syarikat sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara itu, ketika pihak berkuasa mempergiat penguatkuasaan serta operasi pemadaman bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan yang semakin buruk dan menjejaskan rantau ini.
Polis Negara Indonesia pada Rabu berkata, seramai 223 individu itu dinamakan sebagai suspek berhubung 273 laporan polis.
Menurut Pesuruhjaya Kanan Direktorat Sumber Tenaga dan Jenayah Alam Sekitar, Pipit Subiyanto, Kes berkenaan membabitkan kawasan tanah terbakar seluas lebih 5,150 hektar.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan di Jakarta, menurut kenyataan Agensi Komunikasi Kerajaan Indonesia (BAKOM).
Riau merekodkan jumlah suspek tertinggi iaitu 65 orang, diikuti Sumatera Selatan dengan 48 orang dan Kalimantan Tengah dengan 39 orang. Suspek lain berasal dari Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Jambi, Kalimantan Selatan, Kalimantan Utara, Sulawesi Tenggara dan Sulawesi Selatan.
Selain itu, polis turut menamakan sembilan syarikat sebagai suspek berkaitan kebakaran berkenaan, dengan kawasan tanah terbakar seluas lebih 25,600 hektar dikaitkan dengan kes membabitkan syarikat terbabit.
Pihak berkuasa berkata, usaha penguatkuasaan oleh Polis Negara dan kementerian berkaitan menunjukkan kemajuan ketara, dengan 57 entiti perniagaan dikenakan tindakan penutupan selepas didapati melakukan pelanggaran berkaitan kebakaran hutan dan tanah.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk pelanggaran atau kesalahan yang dilakukan.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan sedang meneruskan prosiding jenayah terhadap 17 syarikat, manakala 26 lagi dikenakan tindakan pentadbiran. Bagaimanapun, butiran mengenai bentuk tindakan berkenaan tidak diketahui.
Secara berasingan, kerajaan memperkukuh strategi menangani kebakaran hutan dan tanah dengan memutuskan laluan api di bahagian hadapan kebakaran menggunakan jentera berat serta membina telaga gerudi bagi mempercepatkan operasi pemadaman dan menghalang api daripada merebak lebih jauh.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni berkata, strategi itu memberi tumpuan kepada titik utama pergerakan api, bukannya sekadar mengejar kebakaran ketika ia terus merebak.
Selain penggunaan jentera berat, kerajaan turut merancang membina kira-kira 30 telaga gerudi bagi menyokong operasi pemadaman di kawasan berisiko tinggi.
Telaga gerudi ialah lubang sempit dan dalam yang digerudi ke dalam tanah untuk mendapatkan sumber air bawah tanah.
Telaga berkenaan akan dibina pada jarak kira-kira 50 meter antara satu sama lain di sepanjang bahagian hadapan api bagi memastikan bekalan air yang mencukupi di lokasi kebakaran.
Raja Juli menegaskan kerajaan turut mengoptimumkan pelbagai langkah untuk mengawal kebakaran hutan dan tanah, termasuk menerusi operasi pembenihan awan.
“Tidak kira sama ada sesebuah wilayah sedang mengalami kebakaran atau tidak, kami tetap menjalankan pembenihan awan dengan menyebarkan garam ke dalam awan yang berpotensi bagi meningkatkan kelembapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Kementerian Perhutanan, Ristianto Pribadi berkata, kerajaan Indonesia memberi perhatian khusus terhadap kebakaran hutan dan tanah di Taman Negara Tanjung Puting bagi mengelakkan api merebak serta melindungi habitat hidupan liar.
Taman Negara Tanjung Puting di Kalimantan Tengah merupakan pusat pemuliharaan dan pemulihan orang utan terbesar di dunia.
Pihak berkuasa pada Isnin berkata, kebakaran menjejaskan lebih 500 hektar kawasan taman negara itu, namun usaha pemadaman berdepan kesukaran akibat keadaan penglihatan yang amat terhad.
Kementerian Perhutanan Indonesia mengerahkan 117 anggota daripada agensi taman negara berkenaan untuk memadamkan kebakaran, selain tambahan 10 anggota dari Taman Negara Karimunjawa dan Taman Negara Gunung Halimun Salak.
Kenyataan terbaharu pihak berkuasa Indonesia itu menyusul selepas Malaysia memaklumkan kedua-dua negara buat pertama kali memulakan perbincangan bagi meneroka kerjasama menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata, perbincangan itu membabitkan agensi dan kementerian berkaitan dari kedua-dua negara, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bentuk kerjasama itu bergantung pada hasil perbincangan, namun pihak berkuasa kedua-dua negara buat pertama kali memulakan rundingan mengenai cara kita boleh bekerjasama menangani jerebu yang dilihat semakin buruk,” katanya kepada pemberita pada Rabu, menurut agensi berita nasional Bernama.
Beliau berkata, jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan itu berlarutan hampir dua bulan, sekali gus menjejaskan Malaysia serta kesihatan penduduk di negara jiran, Indonesia dan Singapura.-AGENSI











