Enam beradik yatim piatu mohon bantuan baik pulih rumah

Enam beradik yatim piatu mohon bantuan baik pulih rumah

ENAM beradik tinggal di rumah yang sudah usang di Kampung Parit 1B, Sungai Manik dekat Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Enam beradik yatim piatu memohon bantuan untuk membaik pulih rumah pusaka keluarga mereka di Sungai Manik di sini yang semakin usang dan mengalami kerosakan di beberapa bahagian.

Anak sulung, Muhammad Hakim Rosli, 22, berkata, dia kini memikul tanggungjawab menjaga lima adiknya berusia antara 11 hingga 21 tahun selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2020, diikuti ibu mereka tahun lalu.

Menurutnya, dia bekerja keras bagi memenuhi keperluan harian mereka, namun keadaan rumah yang semakin uzur memerlukan perhatian segera, terutama bahagian bumbung yang bocor setiap kali hujan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memohon bantuan untuk membaik pulih rumah supaya kami dapat tinggal dengan lebih selesa.

“Banyak bahagian yang perlu dibaiki, terutama bumbung, dinding dan siling. Adik-adik saya juga tidak selesa untuk belajar kerana bumbung bocor.

“Bumbung pernah ditukar, tetapi kembali bocor. Selepas bahagian depan diganti, bahagian belakang pula bocor. Saya berharap keseluruhan bumbung dapat ditukar supaya le­bih tahan lama,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Muhammad Hakim berkata, mereka ada menerima bantuan kotak makanan dan membaiki bumbung rumah daripada Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd. Nazari Sabran Syukur.

“Namun, sampai bila kami mahu bergantung kepada beliau sedangkan beliau juga perlu membantu orang lain yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Na­zari berkata, beliau mula me­nyantuni keluarga berkenaan selepas bapa enam beradik itu meninggal dunia pada 2020.

Katanya, bantuan diberi setiap kali Ramadan, Aidilfitri dan musim cuti sekolah, termasuk penghantaran kotak makanan yang diteruskan sehingga kini.

“Saya juga membantu membaik pulih rumah mereka. Namun, untuk memberikan ke­selesaan kepada mereka, banyak bahagian rumah ini perlu dibaiki dan memerlukan kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini