Pahang bimbang ajaran sesat kembali bertapak

Pahang bimbang ajaran sesat kembali bertapak

NORIDZUAN Abdul Manan (depan, empat dari kiri) bersama orang ramai yang menghadiri program Pemerkasaan Syariah dan Akidah (Persada) di Masjid Assobirin Felda Jengka 24, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kegiatan kumpulan yang pernah difatwakan sesat dibimbangi kembali bertapak di Pahang, sekali gus mengancam akidah umat Islam dan berpotensi meruntuhkan institusi keluarga apabila pengikut terlalu taksub sehingga mengetepikan nasihat ibu bapa serta pasangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Noridzuan Abdul Manan berkata, ancaman ajaran sesat di ne­geri ini masih terkawal namun kemungkinan kemunculan semula kumpulan terbabit tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, walaupun tindakan penguatkuasaan menunjukkan pengurangan yang baik terha­dap ancaman berkenaan, pemantauan perlu diteruskan bagi mengelakkan fahaman bercanggah dengan akidah Islam kembali menular dalam masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara umumnya, kita mendapati masih terdapat ancaman ajaran yang sudah difatwakan sesat di Pahang, namun keada­annya terkawal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Program Pemerkasaan Syariah dan Akidah (Persada) 2026 di Masjid Assobirin Felda Jengka 24 di sini, semalam.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan JAIP, Pejabat Agama Islam Daerah Jengka dan pihak masjid bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ancaman ajaran sesat serta kepen­tingan memelihara akidah.

Noridzuan berkata, pihaknya menerima aduan tentang anak-anak yang mula mengabaikan ibu bapa selepas mengikuti program tertentu, sekali gus menyukarkan keluarga menangani perubahan sikap mereka.

Katanya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabi­la pengikut terlalu taksub sehingga enggan mendengar nasihat keluarga malah ada yang mengetepikan tanggungjawab terhadap pasangan demi me­nyertai program berkenaan.

“Apabila ajaran seperti ini sudah bertapak dalam keluarga atau masyarakat, memang sa­ngat sukar dibendung. Ia boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan retak termasuk anak tidak lagi mengendahkan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu berwaspada terhadap ke­giatan mencurigakan termasuk program motivasi yang menggunakan pendekatan luar biasa sehingga berpotensi mempe­ngaruhi pemikiran peserta.

“Perkara yang perlu diberi perhatian adalah pengisian program yang menyaksikan peserta meraung, menangis atau bergu­ling-guling selain penggunaan istilah moden yang boleh menarik minat golongan muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini