PETALING JAYA: AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd. (ARIM) menggantung sementara urus niaga unit dalam tiga dana di bawah pengurusannya berkuat kuasa 13 Oktober 2026, susulan kekangan kecairan berikutan peningkatan permintaan penebusan dan risiko kredit lebih tinggi berkaitan pelaburan tertentu.
Menurut kenyataannya, tiga dana terjejas adalah AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF), AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF) dan AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF).
ARIM berkata, penggantungan itu meliputi urus niaga langganan, penebusan serta pertukaran unit masuk atau keluar daripada ketiga-tiga dana berkenaan.
“Langkah itu dilaksanakan selaras dengan keperluan kawal selia yang berkaitan bagi melindungi kepentingan semua pemegang unit dan memastikan layanan yang adil serta saksama.
“Ia juga memberi masa untuk menilai kedudukan kecairan, menyemak penilaian pelaburan dan menentukan tindakan sewajarnya, selain mengurangkan keperluan menjual aset pada diskaun besar yang boleh menjejaskan nilai kepentingan pemegang unit,” katanya.
ARIM berkata, pihaknya terus memantau pelaburan yang terjejas serta berhubung dengan penerbit, pemegang amanah sukuk dan pemegang amanah dana masing-masing.
Tambahnya, penilaian pelaburan akan dilaksanakan mengikut dasar berkaitan, dokumen dana dan keperluan kawal selia.
“Penggantungan itu khusus kepada urus niaga tiga dana berkenaan dan tidak dengan sendirinya membuktikan berlaku kemungkiran oleh penerbit atau kerugian pelaburan yang telah direalisasikan.
“Sebarang perkembangan penting berkaitan pelaburan terjejas akan dimaklumkan selepas proses pengesahan dan penilaian selesai,” ujarnya.
ARIM berkata, pihaknya memahami kesan penggantungan itu terhadap pemegang unit dan akan menyemaknya secara berkala dengan berunding bersama pemegang amanah dana masing-masing.
Tambahnya, maklumat terkini termasuk sebarang lanjutan tempoh penggantungan atau penyambungan semula urus niaga akan disampaikan melalui notis rasmi dan saluran komunikasi yang dibenarkan ARIM.
ARIM menegaskan pihaknya kekal komited terhadap pengurusan dana yang bertanggungjawab, pengawasan sewajarnya dan perlindungan kepentingan semua pemegang unit. – UTUSAN











