Isu kedudukan takhta perlu selesai ikut undang-undang -Tuanku Muhriz

Isu kedudukan takhta perlu selesai ikut undang-undang -Tuanku Muhriz

TUANKU MUKHRIZ TUANKU MUNAWIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sebarang usaha mempertahankan adat tidak boleh dilakukan dengan melanggar aturan yang menjadi asas kepada warisan itu sendiri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta hendaklah diselesaikan berlandaskan adat dan undang-undang yang berkuat kuasa, bukannya didorong kepentingan atau kehendak peribadi.

Titah baginda, tindakan itu bukan sahaja boleh menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, malah berisiko menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi.

“Pihak-pihak yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengambil tindakan sehingga menimbulkan pertikaian terhadap aturan warisan, atas alasan mempertahankan adat, perlu memahami bahawa adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri,” titahnya

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap bagi Menzahirkan Kejadian Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17, di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah, kewibawaan institusi Raja bergantung pada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Kedudukan Raja yang tinggi dan mulia datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar. Kepercayaan rakyat pula merupakan asas penting bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan dipelihara,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, Raja berperanan sebagai Ketua Negara, namun kuasa baginda masih tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Titah baginda, institusi Raja juga berperanan sebagai payung perpaduan dan penjamin kestabilan pemerintahan, justeru kewibawaannya perlu dipelihara berlandaskan integriti, keadilan dan tanggungjawab.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz berharap Azrin dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, kebijaksanaan dan keinsafan, selain mengutamakan keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah.

Baginda turut menyeru masyarakat di Luak Jelebu, Luak-Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan adat bagi memelihara keseimbangan masyarakat.

“Jadikanlah sejarah sebagai pedoman dan iktibar, janganlah kepentingan diri mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban,” titah baginda. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini