PUTRAJAYA: Sebanyak lima projek pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid (GCPV) di premis kerajaan dengan kapasiti terpasang keseluruhan 779.86 kilowatt puncak (kWp) berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal tanpa lanjutan masa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyerahan itu merupakan langkah nyata dalam memperluas penggunaan tenaga bersih di premis kerajaan, sekali gus mengurangkan kos operasi dan menyokong pengurusan aset awam yang lebih mampan.
“Saya berbesar hati kerana lima lagi projek di bawah inisiatif Kementerian Ekonomi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berjaya disiapkan.
“Projek-projek itu melibatkan premis Kementerian Luar Negeri (KLN), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Alexander berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) melibatkan Bangunan Kementerian Luar Negeri Fasa 1 & 2, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), National Water Research Institute of Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di Wisma Putra, di sini hari ini.
Berdasarkan unjuran prestasi sistem, penjanaan tersebut berupaya mengelakkan pelepasan sekitar 791 tan metrik karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun, di samping memberikan potensi penjimatan bil elektrik Kerajaan sekitar RM485 juta setahun.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan agensi pemilik premis agar memastikan tanggungjawab pengurusan ditetapkan dengan jelas selain melaksanakan penyelenggaraan mengikut jadual dan prestasi sistem dipantau secara berkala.
Katanya, tindakan itu penting supaya sebarang masalah dapat ditangani segera dan manfaat pelaburan dapat dikekalkan sepanjang hayat aset.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas kepercayaan kepada JKR Malaysia serta kepada SEDA Malaysia, agensi pemilik premis, syarikat utiliti,
kontraktor dan seluruh pasukan pelaksana atas komitmen menjayakan projek ini. Kerjasama ini perlu diteruskan sepanjang tempoh operasi agar sistem kekal berfungsi dengan baik dan memberikan manfaat berterusan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, program pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan yang diterajui Kementerian Ekonomi menerima peruntukan RM57.6 juta dengan sasaran awal kapasiti pemasangan sembilan megawatt di Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, berdasarkan status pelaksanaan sehingga September lalu, kapasiti keseluruhan program meningkat kira-kira lapan peratus kepada 9.68 megawatt, melibatkan 19 projek di 46 bangunan kerajaan.
“Daripada jumlah itu, lapan projek melibatkan 23 bangunan dengan kapasiti 5.8 megawatt telah tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), manakala tujuh projek melibatkan 11 bangunan dengan kapasiti 2.09 megawatt masih dalam tempoh berkenaan.
“Tiga lagi projek melibatkan 11 bangunan dengan kapasiti 1.29 megawatt sedang dalam pembinaan, sementara satu projek berkapasiti 0.5 megawatt melibatkan sebuah bangunan masih pada peringkat perolehan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, apabila kesemua sistem beroperasi sepenuhnya, program itu diunjurkan menjana kira-kira 13,200 megawatt-jam elektrik setahun dengan potensi penjimatan kasar bil elektrik kerajaan sebanyak RM5.5 juta setahun. – UTUSAN










