KUALA LUMPUR: Perolehan aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meskipun Belanjawan 2027 dilihat memberi penekanan kepada penyelenggaraan aset sedia ada.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan aset baharu berkenaan masih melalui beberapa proses sebelum pembelian dapat dimuktamadkan.
Menurutnya, proses itu antaranya melibatkan penyediaan spesifikasi, penilaian serta urusan lain berkaitan sebelum sesuatu aset boleh diperoleh.
“Ada aset yang telah diluluskan di bawah RP1, tetapi masih dalam proses untuk dimuktamadkan kerana perlu melalui pelbagai peringkat seperti spesifikasi dan penilaian.
“Jadi, akan ada pengumuman mengenai aset-aset baharu yang akan dibeli apabila proses berkenaan selesai,” katanya pada sidang akhbar Pemeteraian Nota Kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pertahanan serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada peruntukan pertahanan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 hanya tertumpu kepada penyelenggaraan dan tidak melibatkan pembelian aset baharu.
Sebelum ini, melalui Belanjawan 2027, MINDEF diperuntukkan sebanyak RM22.11 bilion, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak RM361.95 juta atau 1.66 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, RM14.52 bilion dialokasikan untuk Perbelanjaan Mengurus (OE) manakala RM7.58 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE). Selain itu, sejumlah RM5.34 bilion khusus diperuntukkan bagi pemerolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan untuk memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan ATM.
Mohamed Khaled menjelaskan, penyelenggaraan aset dan pembelian aset baharu melibatkan dua kategori perbelanjaan yang berbeza dalam pengurusan kewangan kementerian.
Katanya, penyelenggaraan dilaksanakan melalui perbelanjaan mengurus, manakala perolehan aset baharu dilaksanakan di bawah perbelanjaan pembangunan. mindef
“Terdapat aset yang sudah mendapat kelulusan di bawah RP1 tetapi belum dibeli kerana proses perolehan masih belum selesai sepenuhnya.
“Ketiadaan pengumuman terperinci mengenai aset baharu ketika ini tidak bermaksud Kementerian Pertahanan hanya memberi tumpuan kepada kerja penyelenggaraan.
“Maklumat mengenai jenis aset baharu yang akan diperoleh akan diumumkan selepas semua proses berkaitan dimuktamadkan,” katanya. –UTUSAN











