Isu Kuil: Bukan soal siapa salah, tetapi cara mencari penyelesaian - Sathia

Isu Kuil: Bukan soal siapa salah, tetapi cara mencari penyelesaian – Sathia

Sathia Prakash Nadarajan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu pembinaan kuil tanpa kelulusan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi mengelakkan masalah sama terus berulang pada masa depan.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, kerajaan perlu mengambil peluang membetulkan kelemahan sedia ada tanpa menjadikan isu itu sebagai pertikaian politik atau menyalahkan mana-mana pihak.

Beliau berkata, isu kuil yang berlarutan sejak 50 hingga 60 tahun lalu bukan perkara baharu dan memerlukan pendekatan yang lebih tersusun serta berlandaskan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana premis yang tidak mempunyai kelulusan atau dokumen pemilikan sah boleh mendapat bekalan asas seperti elektrik dan air.

“Kalau kita tengok bukan secara tempat ibadat sahaja, ada rumah-rumah juga, ada banyak kawasan-kawasan tanah, rumah-rumah juga yang sepatutnya apabila tengok kerja-kerja rumah singgah dan sebagainya, tetapi elektrik ada, air ada. Macam mana dapat?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, isu berkenaan bukan hanya melibatkan rumah ibadat, malah turut membabitkan aspek perumahan dan penggunaan tanah yang perlu diteliti secara menyeluruh.

Sathia berkata, kerajaan juga perlu memastikan isu agama tidak dijadikan alat untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, masyarakat Melayu, Cina dan India boleh hidup bersama tanpa masalah, justeru isu berkenaan tidak seharusnya dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Usaha kerajaan ketika ini perlu dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian yang baik, termasuk menasihatkan pengurusan kuil supaya mendapatkan dokumen dan kelulusan yang sah bagi mengelakkan masalah sama berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Penggunaan istilah seperti ‘haram’ dalam membincangkan isu berkenaan turut perlu ditangani dengan berhati-hati kerana boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

“Masalahnya orang jadi sensitif, orang jadi marah. Kawan-kawan Hindu saya rasa, dia 100 tahun dah ada di sana. Kenapa perlu gunakan perkataan itu?” katanya.

Dalam pada itu, Sathia berkata, aspek tadbir urus dan pemantauan organisasi yang menguruskan rumah ibadat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan wujudnya sistem semak dan imbang yang berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini