KUALA LUMPUR: Kira-kira 400,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun di negara ini menganggur dengan kadar 6.3 peratus setakat Jun lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM), bagi aspek guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pula, kadar bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 74.3 peratus pada Suku Tahun Kedua 2026, membabitkan 476,300 orang.
“Kumpulan ini merujuk kepada belia bekerja yang berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung kadar pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan belia serta keberkesanan Program Sosioekonomi Belia 2030 yang bermula tahun ini.
Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi perhatian terhadap isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan belia.
“Sejajar dengan cabaran itu, Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 menjadi antara kerangka strategik kerajaan untuk menangani cabaran sosioekonomi belia.
“Ini termasuk belia di luar Lembah Klang, melalui tiga matlamat utama iaitu menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia serta mempergiat pembangunan mampan.
“Pelan ini dilaksanakan melalui 10 strategi dan 24 inisiatif dengan pembabitan 76 rakan kolaborasi merentas kementerian dan agensi,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata, antara kementerian terlibat adalah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). –UTUSAN











