PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbang pemberian pelepasan cukai pendapatan kepada anak-anak yang menanggung bayaran sewa rumah atau ansuran pinjaman perumahan ibu bapa mereka.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar A. Samad berkata, cadangan tersebut selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kebajikan warga emas seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Menurut beliau, perbelanjaan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa juga perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penjagaan dan kebajikan warga emas.
“Pada hari ini, terdapat ramai anak yang menanggung sepenuhnya atau sebahagian daripada bayaran sewa rumah atau ansuran pinjaman perumahan ibu bapa mereka yang telah bersara dan tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, tanggungan ini memberi tekanan kewangan kepada anak-anak yang turut mempunyai komitmen keluarga sendiri, namun tetap dilaksanakan demi memastikan keselamatan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pelepasan cukai pendapatan individu itu wajar diberikan berdasarkan jumlah bayaran sebenar tertakluk kepada had tahunan munasabah serta syarat yang ditetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau turut mencadangkan pelepasan itu dijadikan kategori khusus yang berasingan daripada pelepasan cukai perubatan dan penjagaan, memandangkan komitmen perumahan merupakan perbelanjaan yang besar serta berterusan.
“Menjaga kebajikan ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak, tetapi kerajaan boleh memainkan peranan untuk meringankan beban mereka melalui dasar percukaian yang lebih prihatin terhadap institusi keluarga.
“REACH berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini ketika memperincikan dan memuktamadkan langkah-langkah percukaian bagi tahun hadapan,” katanya. –UTUSAN











