VATICAN: Pope Leo XIV disahkan menghidap kanser paru-paru namun berjaya menjalani pembedahan untuk membuang lobus bawah paru-paru kanannya, menurut kenyataan buletin perubatan pihak Vatican.
Pope yang berusia 71 tahun itu menjalani pembedahan selama 90 minit pada Selasa di Hospital Gemelli, Rom dan kemudiannya didiagnosis dengan adenokarsinoma paru-paru.
“Pembedahan tersebut berjaya dan tiada sebarang komplikasi berlaku,” menurut pihak Vatican. Pope dilaporkan sedar seperti biasa selepas pembedahan dan kembali ke biliknya selepas tempoh pemerhatian singkat.
Ketumbuhan itu dikesan buat pertama kali semasa pemeriksaan rutin dan beliau dijangka berada di hospital selama kira-kira seminggu.
Terdahulu, orang ramai berkumpul selama berjam-jam di luar hospital untuk menanti ketibaan Pope. Mereka memberikan sorakan semangat semasa kenderaan beliau berlalu, sementara Pope membalasnya dengan lambaian dan senyuman dari cermin kereta.
Pihak Vatican menyatakan keseluruhan lobus bawah paru-paru kanan Pope telah dibuang bagi memastikan prosedur tersebut menyeluruh.
Menurut sumber Vatican yang dipetik agensi berita AFP, ujian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat tanda-tanda kanser tersebut telah merebak.
Pope Leo XIV sendiri membuat pengumuman mengenai pembedahan itu kepada umum pada Ahad lalu ketika berucap dari balkoni Dataran St Peter selepas menyampaikan ucapan doa mingguan.
Beliau menyatakan bahawa ketumbuhan kecil pada paru-parunya itu masih terkawal dan dikesan pada peringkat awal, namun doktor menasihatkan agar ia dibuang segera.
Pasukan pembedahan toraks Hospital Gemelli telah mengendalikan pembedahan tersebut manakala jadual harian Pope telah dikosongkan sehingga 20 Oktober bagi memberikan ruang untuk beliau pulih. -BBC









