Super El Nino bakal jadikan 2026 tahun paling panas dalam sejarah - Utusan Malaysia

Super El Nino bakal jadikan 2026 tahun paling panas dalam sejarah

TANAH sawah padi kering akibat ketiadaan hujan terlalu lama di Bogor, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Corak fenomena El Nino yang semakin membimbangkan telah mencatatkan rekod suhu tertinggi sepanjang masa di zon penting Lautan Pasifik pada bulan September. Ia sekali gus berpotensi menjadikan 2026 sebagai tahun pa­ling panas pernah direkodkan di peringkat global, menurut pe­ngarah pemantau iklim Ke­satuan Eropah (EU) pada Isnin.

Pakar ramalan cuaca global telah memberi amaran selama berbulan-bulan bahawa episod El Nino kali ini berkemungkinan besar menjadi yang paling kuat pernah dicatatkan di mana rekod terbaharu telah dipecahkan walaupun sebelum kemuncak fenomena itu dijangka berlaku pada lewat tahun ini.

Sebagai fasa pemanasan dalam kitaran iklim semula jadi, El Nino bertindak menaik­kan suhu permukaan laut di kawasan tropika Pasifik buat sementara waktu, mencetuskan perubahan cuaca yang mening­katkan risiko kemarau dan banjir, selain memburukkan lagi pemanasan global akibat aktiviti manusia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus menyatakan bahawa suhu permukaan laut di zon pemantauan El Nino di Lautan Pasifik, yang dikenali sebagai Nino3.4, telah mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 29.7 darjah Celsius  pada bulan lepas. 

Angka ini mengatasi rekod kemuncak suhu daripada fenomena El Nino kuat sebelum ini pada tahun 1982/1983, 1997/1998 dan 2015/2016, menurut pemantau EU itu.

Pengarah Copernicus, Carlo Buontempo memberitahu agensi berita AFP bahawa El Nino yang muncul pada bulan Jun ini adalah sangat luar biasa.

Namun, masih terlalu awal untuk merumuskan sama ada ia merupakan yang paling kuat pernah dicatatkan dalam sejarah.

Memandangkan ­perubahan iklim meningkatkan suhu lautan, ia boleh menyebabkan fenomena El Nino mutakhir kelihatan lebih kuat berbanding masa lalu, sekali gus merumitkan perbandingan data sejarah. 

Copernicus memaklumkan bahawa ia telah mula menggunakan indeks baharu yang mengambil kira faktor pemanasan lautan tropika, di mana data tersebut mencadangkan bahawa kejadian semasa belum lagi mengatasi kekuatan peristiwa lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini