Saluran darah tersumbat punca kematian lelaki dalam longkang - polis

Saluran darah tersumbat punca kematian lelaki dalam longkang – polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Saluran darah di bahagian jantung yang tersumbat dikenal pasti sebagai punca kematian seorang lelaki yang mayatnya dijumpai dalam keadaan berbalut dengan kain dalam longkang berhampiran sebuah kedai makan di Pasar Awam Sama Gagah di sini, pagi tadi.

Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah selepas mayat tersebut dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa tersebut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari HSJ.

“Susulan penemuan itu, satu pemeriksaan fizikal telah dilakukan terhadap mayat lelaki terbabit oleh Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Berdasarkan pemeriksaan, tidak ada sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda mencurigakan ditemukan pada tubuh badan mangsa ketika kejadian.

“Pada masa yang sama, beberapa saksi juga telah diambil keterangan dan mendapati, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut. Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menghormati privasi keluarga si mati.

“Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihat agak lebih peka terhadap tahap kesihatan diri serta mendapatkan pemeriksaan serta rawatan yang sewajarnya jika mengalami gejala yang membimbangkan,” katanya.

Media sebelum itu melaporkan, orang ramai yang berada di sekitar kawasan pasar awam berkenaan digemparkan dengan penemuan mayat lelaki terbabit dalam longkang di situ kira-kira pukul 7 pagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini