TEL AVIV: Pihak berkuasa Israel merobohkan kira-kira 80 rumah di perkampungan Palestin Al-Dhahiya di wilayah Negev, selatan Israel, pada Isnin, menyebabkan kira-kira 400 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ia berlaku di tengah-tengah tuduhan bahawa Menteri Keselamatan Negara berhaluan ekstrem kanan, Itamar Ben-Gvir, menggunakan perobohan rumah sebagai sebahagian daripada kempen pilihan rayanya.
Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan bahawa pasukan daripada Pihak Berkuasa Tanah Israel, diiringi pasukan polis tambahan di bawah kementerian pimpinan Ben-Gvir, merobohkan kira-kira 80 rumah di Al-Dhahiya, sebuah perkampungan yang tidak diiktiraf di utara bandar Rahat, atas alasan kediaman berkenaan dibina tanpa permit.
Perobohan itu dilakukan selepas Mahkamah Daerah Beersheba pada Ahad menolak petisyen untuk menangguhkan tindakan berkenaan, menurut penyiar itu.
Menurut laporan KAN, kira-kira 400 orang tinggal di rumah-rumah tersebut.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Ben-Gvir secara terbuka menonjolkan tindakan merobohkan ratusan rumah milik warga Palestin yang merupakan warganegara Israel, atau dikenali sebagai Arab Israel, atas dakwaan pembinaan tanpa permit.
Selasa lalu, Ben-Gvir turut serta dalam perobohan sebuah bangunan lima tingkat yang menempatkan 70 rakyat Palestin di kawasan kejiranan At-Tur, Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Pakatan Bersama, gabungan tiga parti Arab, mengecam perobohan rumah itu sebagai “terang-terangan terhadap hak asasi manusia dan hak kebangsaan paling asas rakyat kam”.
“Perobohan itu meneruskan dasar kerajaan Israel berturut-turut yang merobohkan rumah, menghalau penduduk dari tempat tinggal dan memindahkan penduduk kampung Arab di Negev,” menurut gabungan itu.
Timbalan Datuk Bandar Rahat, Hassan al-Nasasra turut mengecam tindakan perobohan berkenaan.
“Perobohan itu sama sekali bukan pelaksanaan undang-undang, sebaliknya sekadar propaganda pilihan raya untuk Ben-Gvir yang bersikap perkauman dan kumpulannya,” katanya dalam satu kenyataan.
KAN turut melaporkan bahawa pemimpin Pakatan Arab Bersatu, Mansour Abbas, menghantar surat tergempar kepada Peguam Negara, Gali Baharav-Miara bagi menuntut supaya semua perintah perobohan rumah dibekukan serta-merta sehingga pilihan raya selesai dan kerajaan baharu dibentuk.
Pilihan raya umum Israel dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober.
Abbas memberi amaran supaya perobohan rumah tidak digunakan untuk tujuan politik dan pilihan raya sambil berkata Ben-Gvir secara terbuka bermegah kerana menyertai operasi perobohan dengan cara yang menjejaskan integriti pilihan raya dan sikap berkecuali agensi penguatkuasaan undang-undang.
“Penduduk kampung yang tidak diiktiraf di Negev tidak dapat memperoleh permit pembinaan kerana ketiadaan perancangan pembangunan, yang menjadi tanggungjawab kerajaan,” katanya.











