PN gagal tangguh tindakan gantung aktiviti - Utusan Malaysia

PN gagal tangguh tindakan gantung aktiviti

MAHKAMAH Tinggi membenarkan permohonan Perikatan Nasional mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mengeluarkan notis berhubung cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.

Bagaimanapun, Hakim Azizan Md. Arshad tidak membenarkan penangguhan sementara penggantungan semua aktiviti gabungan parti Pas, Gerakan, MIPP, Wawasan dan Pejuang.

Sebaliknya, permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk menggantung pelaksanaan notis penggantungan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 22 Oktober ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada tarikh tersebut, persoalan sama ada PN boleh bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada November ini menggunakan logo gabungan itu akan terjawab sekiranya mahkamah membuat keputusan pada hari sama.

“Pada ketika ini, semua aktiviti digantung kecuali urusan untuk menjawab notis dan surat tunjuk sebab kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia).

“Persediaan bertanding tidak boleh dilakukan sebab tidak tahu akan bertanding menggunakan logo mana.”

“Bendera tak boleh tempah, calon pun tak boleh dinamakan lagi,” ujar peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili pemohon ketika ditemui media selepas pendengaran permohonan semakan kehakiman yang dijalankan dalam kamar hakim.

RoS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September 2026.

Notis tersebut dikeluarkan susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu kepada RoS pada 11 Ogos lalu, antara lain membabitkan dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Menurut RoS, notis tersebut tidak membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya bagi memberi ruang kepada gabungan itu mengemukakan penjelasan dalam tempoh munasabah serta menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melakukan pelanggaran terhadap aturan pertubuhannya sementara proses berkaitan berjalan.

Pemohon dalam semakan kehakiman itu ialah Setiausaha Agung PN dan Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), N. Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.

Mereka menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai responden pertama dan kedua.

Menurut afidavit sokongannya, Takiyuddin berkata perintah penggantungan RoS bertarikh 23 September lalu memberikan kesan muktamad kerana melarang gabungan itu daripada menjalankan aktiviti politik.

Beliau berkata penggantungan tersebut menghalang Majlis Tertinggi PN dan organ-organ parti lain daripada mengadakan mesyuarat atau membuat keputusan, termasuk berkaitan penyertaan gabungan itu dalam PRN Melaka.

Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijadualkan pada 31 Oktober ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.

Akibat penggantungan itu, PN tidak dapat mengeluarkan kenyataan, mengadakan perhimpunan awam atau menjalankan kempen pilihan raya. Beliau turut berkata pegawai parti berisiko didakwa sekiranya melanggar perintah berkenaan.

Sehubungan itu, pemohon antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan perintah penggantungan dan notis cadangan pembatalan pendaftaran PN.

Mereka turut memohon deklarasi mahkamah bahawa perintah penggantungan dan notis berkenaan menyalahi undang-undang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini