PETALING JAYA: Petarung Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mengakui berada pada tahap keyakinan tertinggi menjelang pertemuan ulangan dengan Diego Paez di Bangkok, Jumaat ini.
Petarung berusia 19 tahun itu bakal kembali berentap dengan wakil Colombia-Amerika Syarikat berkenaan dalam pertarungan Muay Thai kategori Flyweight pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, dengan misi melunaskan dendam kekalahan yang dialami pada Jun tahun lalu.
Pertemuan pertama mereka berlangsung sengit selama tiga pusingan sebelum Paez diisytiharkan pemenang menerusi split decision, sekali gus meraih kemenangan pertamanya dalam ONE Championship.
Bagaimanapun, Johan yang mesra disapa Jojo percaya keputusan itu tidak menggambarkan sepenuhnya perjalanan pertarungan mereka, malah mendakwa dirinya lebih banyak mendaratkan serangan tepat.
Namun, beliau mengakui sikap terburu-buru ketika memburu kemenangan membuka ruang buat lawan mengambil kesempatan.
“Saya rasa saya lebih banyak mendaratkan serangan tepat. Saya terlalu cepat menyerang dan dia bijak mengambil kesempatan terhadap keghairahan saya untuk menang.
“Jika diteliti pertarungan itu, tiada satu pun serangan berpusingnya benar-benar mengenai sasaran dengan jelas.
“Saya hanya ingat satu tendangan pusing ke belakang yang mengena, tetapi saya terus membalas dengan serangan.
“Saya tahu perkara yang perlu diperbaiki dan sejujurnya, saya tidak pernah lebih yakin daripada sekarang,” katanya kepada laman rasmi ONE Championship.
Keyakinan Jojo turut disuntik dua kemenangan berturut-turut ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung selepas kekalahan kepada Paez, sekali gus memberinya peluang untuk membuktikan peningkatan prestasi ketika kedua-duanya kembali bertembung di gelanggang Bangkok. – UTUSAN











