Kokain Tokyo: PDRM diarah dapatkan maklumat dari Jepun

Kokain Tokyo: PDRM diarah dapatkan maklumat dari Jepun

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) menghadiri Program Townhall Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa Jepun berhubung insiden penahanan rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan dadah di negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan untuk bertindak segera bagi memastikan perkara sebenar dapat diketahui.

“Maklumat lengkap berhubung insiden berkenaan akan disampaikan kepada media sebaik sahaja diterima,” katanya pada sidang akhbar program Townhall Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengulas penahanan lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) kokain bernilai RM3.1 juta di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lepas. 

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.

Kesemua suspek dipercayai menyembunyikan dadah di bawah pelapik kasut ketika menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum kegiatan mereka terbongkar sebaik tiba di Jepun.

Tambah Saifuddin, langkah mendapatkan maklumat itu juga selari dengan pendekatan diambil dalam insiden penahanan pembantu juruterbang Malaysia di Jakarta, sebelum ini dan rampasan 521kg dadah daripada sebuah jet peribadi di Laos yang pada awalnya didakwa dari negara ini.

Sementara itu, ujar beliau, pelaksanaan 17 syor yang digerakkan menerusi jawatankuasa bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh keselamatan di KLIA dan pintu masuk negara akan diteruskan seperti dirancang.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu merangkumi tiga fasa, dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada destinasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi atau hotspot.

“Bagi destinasi yang disenaraikan sebagai hotspot, pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang, termasuk pemeriksaan badan dan bagasi, akan dilaksanakan 100 peratus,” katanya.

Namun kata beliau, destinasi di Jepun, termasuk Tokyo, tidak berada dalam senarai asal kawasan hotspot yang disenaraikan sebelum ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini